KOTA KINABALU : Enam finalis berentap akan merebut dua tempat akhir ‘Debaran Bintang Kecil Zon Sabah’ diadakan di Studio TV Kompleks Bersepadu Aras Satu, Kementerian Komunikasi, RTM Sabah pada 25 Julai (Khamis) ini.
Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Salmah Hashim berkata, dua perserta terbaik ini nanti akan menerima wang tunai berjumlah RM3,000 setiap seorang, berserta trofi dan sijil sekali gus mewakili Zon Sabah ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak.
Katanya, antara peserta akhir ini termasuk Hannah Jean mewakili daerah Kudat, Rialvilyne Pitas, Muhlis Kota Kinabalu, Jackie dan Mia mewakili Penampang serta Mason dari Wilayah Persekutuan Labuan.
“Dua peserta mewakili Zon Sabah akan memikul tugas berat berikutan Fateha Nasleen lebih dikenali sebagai Kiki berasal dari Keningau Sabah muncul johan Bintang Kecil RTM 2023 sekali gus juga memenangi Anugerah Persembahan Terbaik diadakan di Arena Gemilang, DeTAR Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tahun lalu.
“Mengikut rekod pencapaian, Sabah mempunyai beberapa pemenang Bintang Kecil di peringkat kebangsaan antaranya, Esther Applunius pada tahun 1998, Feli Stacy Paimin tahun 2016, Qahirah Maisarah 2022 serta terbaharu Fateha Nasleen 2023,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Salmah berkata, pemilihan peserta kali ini melalui Debaran Bintang Kecil Zon Sabah merupakan program tahunan Radio RTM bagi memilih dua wakil Zon Sabah ke peringkat akhir di Kuching Sarawak merupakan kalangan kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun.
“RTM Sabah juga akan menyiarkan siaran langsung bermula 1.45 tengahari hingga 3.30 petang melalui Radio Sabah FM, platform media sosial live facebook Seksyen Hiburan dan Muzik RTM serta Rakaman daripada Unit Penerbitan TV RTM Sabah.
“Siaran ulangan akan dapat diikuti pada 26 Julai ini melalui Siaran TV2 bermula jam 9 malam. Antara artis jemputan memeriahkan Debaran Bintang Kecil Zon Sabah kali ini termasuk Dhania Bintang RTM 2024, Roddy pemenang tempat ketiga Bintang Kecil Kebangsaan 2019 serta Fateha Nasleen Juara Bintang Kecil Kebangsaan 2023,” jelas Salmah.
Menurutnya, empat hadiah saguhati menanti pemenang yang kurang bernasib baik iaitu berjumlah RM500 setiap seorang berserta Trofi dan Sijil.
“Debaran Bintang Kecil Zon Sabah menampikan DJ Pyan dan DJ Aziyan dari Sabah FM menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program Debaran Bintang Kecil Zon Sabah,” kata Salmah.