PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Penampang baru-baru ini tidak mengambarkan jumlah sebenar yang terkesan banjir.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ini kerana, masih banyak yang terperangkap di rumah yang tidak dapat dipindahkan oleh anggota keselamatan pada malam kejadian banjir.
“Saya telah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri 1 Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS tidak menggambarkan jumlah sebenar keluarga yang terjejas banjir.
“Sebab itu saya telah mencadangkan supaya senarai yang terlibat itu diteliti semula dan Pegawai Daerah Penampang Francis Chong selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana telah menyediakan satu borang khusus bagi pendaftaran mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian banjir di Penempang selepas merasmikan Galeri Jualan dan Pelancaran Sky88 Residences Bundusan, di sini, hari ini.
Ewon berkata, penduduk kampung yang terjejas banjir perlu mengisi borang berkenaan dan disahkan oleh Pengerusi JKKK, Ketua Kampung atau JKDB sebelum dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
“Kemudiannya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan memaklumkan kepada NADMA bilangan keluarga yang terlibat,” katanya.
Ewon berkata, berdasarkan laporan Pegawai Daerah Penampang pada Jumaat lalu sebelum beliau menghadiri Mesyuarat Kabinet, sebanyak 2,300 ketua isi rumah (KIR) atau keluarga terlibat dalam bencana banjir di 16 buah kampung di Penampang.
“Saya percaya jawatankuasa bencana masih membuat pengesahan dengan semua JKKK kampung di Penampang yang terlibat banjir untuk kita melihat jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka,” katanya.
Katanya lagi, di peringkat Pusat Khidmat Parlimen Penampang, para pegawainya sudah seminggu menyalurkan pelbagai bantuan.
“Selain bantuan bakul makanan, kita juga memberikan keperluan ringkas lain seperti tilam, bantal, tong gas dan lain-lain keperluan yang diperlukan oleh penduduk kampung termasuk sedikit perbelanjaan kepada JKKK, persatuan-persatuan, parti politik atau badan bukan kerajaan untuk menganjurkan program gotong royong membuat pembersihan rumah.
“Kita juga telah menyalurkan sedikit sumbangan daripda peruntukan Ahli Parlimen kepada sekolah-sekolah yang terjejas banjir dan beberapa persatuan lain yang terjejas termasuk rumah ibadat.
“Saya sedang melihat jenis bantuan yang boleh diberikan kepada pelajar yang terjejas teruk kehilangan baju seragam sekolah, kasut dan kelengpakan lain.
“Menjadi tanggungjawab saya memastikan semua mangsa banjir di Penampang mendapat bantuan bersesuaian,” katanya.
Ewon berkata, pada Selasa ini pejabatnya akan mengadakan perbincangan bersama kesemua 10 agensi di bawah kementeriannya termasuk Co-Opbank dsn ANGKASA untuk mengadakan perbincangan jenis bantuan yang perlu disalurkan kepada pelajar yang kehilangan segala-galanaya.
“Saya telah melawat, meninjau dan melihat sendiri kerosakan di banyak rumah dan isu pelajar memerlukan bantuan juga perlu kita ambil perhatian,” katanya.