Gagasan Rakyat Lamag nafi bolot semua jawatan ketua adat

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lamag menafikan dakwaan bahawa semua jawatan peringkat kampung telah dibolot oleh parti itu dan mengetepikan parti komponen lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Advertisements

Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Lamag Abu Bakar Gapar berkata video mengenai tuduhan itu yang tular di media sosial adalah tidak benar dan sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan merosakkan nama baik parti Gagasan Rakyat dan beliau sendiri selaku Ketua Bahagian Lamag.

“Sebenarnya tidak berbangkit soal berlaku kekecohan dan ketidakadilan dalam isu pelantikan pemimpin akar umbi seperti yang digambarkan di media sosial, termasuk video yang disebarkan oleh pihak tertentu.

“Apa yang berlaku adalah salah faham oleh seorang Ketua Bahagian sebuah parti komponen GRS semasa menyampaikan ucapan ringkas sebelum Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 4 Julai 2024 lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abu Bakar berkata terdapat kemungkinan beliau kurang informasi berkaitan dengan pelantikan itu sehingga beranggapan bahawa wakil parti itu telah dibelakangkan.

“Berdasarkan senarai ketua-ketua adat yang dilantikan, yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri bahawa tiga orang daripada parti itu telah dilantik, berserta dengan beberapa orang lagi daripada parti-parti komponen yang lain,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kerajaan Tempatan membuat pelantikan itu berdasarkan merit setelah menerima syor-syor nama daripada parti-parti komponen GRS, serta mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan pada Oktober 2022.

“Pemimpin parti-parti komponen GRS bahagian Lamag yang dilantik mengisi kekosongan jawatan Ketua Adat mencapai 56 peratus berbanding parti dominan dari segi ahli dan senioriti. Justeru, Tidak wujud isu soal ketidakadilan,” katanya,

Mengenai tuduhan bahawa pemimpin parti PKR tidak dijemput juga tidak benar kerana Ketua Wanita Cabang PKR Kinabatangan, Puan Siti Jahara
menghadiri majlis itu mewakili parti tersebut setelah Ketua Cabang dan Setiausaha Bahagian PKR Kinabatangan tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

“Justeru itu, jangan kaitkan isu tersebut dengan soal ketidakadilan dan ketidakbersatu parti-parti komponen GRS kawasan Lamag.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Gagasan Rakyat di Kinabatangan tetap kukuh bersatu.

“Saya berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan menimbulkan provokasi bahawa akar umbi GRS bercakaran merebut jawatan. Isu ini hanya disebabkan salah faham yang telah diberikan penjelasan sebaiknya,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles