Dua tahun tiada pengambilan, Madius minta KPM luluskan semua permohonan kemasukan PISMP Bahasa Kadazandusun

KUALA LUMPUR: Seramai 1,123 pelajar opsyen Bahasa Kadazandusun seluruh negara dilatih melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran sejak tahun 2001.

Advertisements

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, daripada jumlah tersebut kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM28,973,400.00 bagi bayaran elaun pelajar dalam tempoh lima tahun pengajian.

“Pengambilan pelajar akan diadakan sekali setahun iaitu pada setiap bulan Jun.

“Kesemua pelajar yang dilatih adalah berdasarkan pada unjuran KPM.”

KPM berkata demikian dalam satu jawapan bertulis bagi menjawab Soalan Lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) sempena Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Dalam soalannya, Madius meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah pelajar Bahasa Kadazandusun yang terlatih di seluruh negara.

Beliau juga meminta KPM memaklumkan nama-nama institusi yang menawarkan kursus pengajian Bahasa Kadazandusun di peringkat Sarjana Muda, jumlah peruntukan yang terlibat, dan bila pengambilan pelajar dibuat pada setiap tahun.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Madius dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa beliau kurang bersetuju dengan jawapan bertulis yang diberikan KPM.

“Pihak KPM mungkin terlupa memberitahu bahawa mereka tidak ada membuat pengambilan opsyen Bahasa Kadazandusun pada tahun 2022 dan 2023.

“Namun kita berterima kasih kerana Menteri KPM telah melawat IPG Kampus Kent pada April lalu dan telah mengumumkan bahawa pengambilan akan dibuka semula tahun ini.

“Syukurlah, saya difahamkan terdapat 51 calon yang memohon dan semuanya layak, namun kuota yang tersedia hanyalah untuk sekitar 26 pelajar sahaja.

“Dengan mengambil kira tidak ada pengambilan pelajar program Bahasa Kadazandusun selama dua tahun, saya memohon agar KPM dapat meluluskan permohonan semua 51 pelajar ini untuk melanjutkan pengajian di IPG Kampus Kent,” jelas Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles