Selesaikan tempat pemindahan sebelum keluarkan notis kepada penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) perlu menyediakan rumah kepada 80 penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru sebelum bertindak mengeluarkan notis bagi mengosongkan rumah dalam tempoh terdekat.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed berkata, tindakan LPPB mengeluarkan notis akhir pada 31 Ogos ini merupakan tempoh singkat memandangkan belum ada penempatan khusus diberikan kepada mereka untuk berpindah.
Katanya, sebelum ini Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya mencadangkan untuk dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kibabaig Penampang namun ia masih tertakluk kepada kekosongan di PPR terbabit.
“Sebelum dipindahkan, sewajarnya perlu diberikan tempoh secukupnya sementara menunggu penempatan baharu agar penghuni rumah pangsa Tanjung Aru ini dapat menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
“Kita harap LPPB mengambil berat serta bertanggungjawab…Jangan hanya menghantar notis kepada penghuni tetapi mereka juga perlu turun padang sambil memberikan penjelasan berkaitan tindakan memindahkan mereka dalam tempoh yang sangat singkat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Jeffrey merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata, pegawai LPPB perlu juga menjalankan proses temuduga sama ada penghuni rumah pangsa ini bersetuju atau tidak untuk berpindah pada tarikh notis yang dikeluarkan.
“Kerana saya ada dimaklumkan ramai anak-anak penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru terpaksa berpindah sekolah cukup jauh di kawasan penempatan baharu dicadangkan kelak. Dalam suasana keadaan ekonomi yang tidak menentu LPPB perlu juga menyemak semula keadaan yang ditanggung mereka.
“Kita akan mengeluarkan satu surat kepda LPPB untuk memaklumkan secara rasminya, dalam tempoh sama saya minta LPPB agar dapat berdepan dengan penghuni ini untuk melakukan proses-proses sewajarnya bagi kebaikan kedua-dua pihak,” jelas Jeffrey Nor.
Menurutnya, penghuni di Rumah Pangsa Tanjung Aru tidak menghalang sebarang pembangunan dilakukan di kawasan ini serta bersedia berpindah sekiranya LPPB sambil bertolak ansur dengan mengikut proses yang ditetapkan.
“Ini termasuk jangan hanya bertindak mengeluarkan notis tetapi pegawai LPPB enggan berjumpa dengan penghuni di Rumah Pangsa Tanjung Aru. Notis diterima ini sudah tentu mewujudkan rasa kegusaran dalam kalangan mereka.
“LPPB perlu mengambil berat tanggungjawab ini berikutan Rumah Pangsa Tanjung Aru ini sudah didirikan sejak 1971 lagi. Ada kalangan penghuni tinggal di sini sudah cukup lama serta pelru mendapat pembelaan yang sebaik mungkin,” kata Jeffrey Nor.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles