Oleh Jainudin Djimin
LABUAN:Persidangan Tahunan UMNO peringkat Cawangan yang telah bermula pada 4 Mei lalu mula menunjukkan kebangkitan semula UMNO di Labuan apabila kehadiran ahli-ahli parti di peringkat cawangan begitu memberangsangkan dan di luar jangkaan.
Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi yang hadir merasmikan dua cawangan menzahirkan rasa bangga dengan kehadiran ahli-ahli UMNO yang bukan sahaja begitu ramai tetapi juga penuh bersemangat.
Beliau berkata, kehadiran ahli ahli UMNO yang penuh bersemangat membolehkan parti keramat orang Melayu, UMNO khususnya di Labuan akan terus bergerak kehadapan sesuai dengan perubahan sikap, pemikiran dan landskap politik negara.
“Syukur Alhamdulilah saya berkesempatan hadir untuk merasmikan di dua buah cawangan yang bermesyuarat pada minggu ini telah mengeggarkan suasana mesyuarat dengan kehadiran ahli yang begitu ramai dan ini secara tidak langsung membuktikan UMNO Labuan khususnya telah bangkit semula.
“Kami yang hadir merasakan seperti kempen pilihan raya… syabas dan tahniah kepada cawangan UMNO yang telah bermesyuarat dengan penuh bersemangat” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook pada Ahad.
Dua buah cawangan UMNO yang telah bermesyuarat dengan kehadiran ahlinya melebihi 2/3 ialah, Cawangan UMNO Rancha-Rancha Laut dan UMNO Cawangan Gersik Seguking.
UMNO Bahagian Labuan yang mempunyai 30 cawangan telahpun memulakan persidangan tahunannya secara berperingkat bermula pada 4 Mei lalu dan akan berterusan sehingga 2 Jun depan.