KOTA KINABALU : Melalui platform Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East (Asean Growth Area (BIMP-EAGA), negeri Sabah mempunyai beberapa kerjasama dan inisiatif dalam perkara berkaitan keselamatan, pelancongan dan perdagangan dengan Selatan Filipina dan Wilayah Kalimantan, Indonesia.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, di Serudong Kalabakan, pembinaan jalan akses untuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Serudong sedang dalam pelaksanaan di mana kerja-kerja awalan penyediaan tapak CIQS dan pembinaan jalan konkrit dari ICQS ke batu sempadan A708 telah siap dilaksanakan.
Katanya, di Bantul Pagalungan, kerja-kerja awalan penyediaan tapak COQS juga telah siap dilaksanakan.
“Kedua-dua projek ini adalah merupakan inisiatif penting dan akan menjadi pemangkin kepada pembukaan perhubungan darat di antara Sabah dan Kalimantan Utara,” katanya pada Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang Ke-16, semalam.
Beliau menjawab soalan (Datuk Dr Yusof Yacob-ADUN Sindumin) mengenai status perundingan isu seperti keselamatan, pelancongan dan perdagangan antara Sabah dengan Selatan Filipina dan Wilayah Indonesia di Kalimantan khususnya apabila pemindahan ibu kota Indonesia ke Wilayah Kalimantan Timur.
Hajiji berkata, bagi projek pembinaan CIQS di Pelabuhan Lahad Datu telah siap dilaksanakan pada pertengahan tahun lalu untuk menggiatkan lagi kerjasama di dalam keselamatan, pelancomngan dan eprdagangan antara Sabah dengan Filipina dan Indonesia.
Menurutnya, dalam sektor pelancongan, negara-negara BIMP-EAGA jalinan kerjasama dan penyelarasan untuk memantapkan lagi program pelancongan antara negara termasuklah penekanan terhadap Eko-pelancongan berasaskan komuniti. BIPM-EAGA Sister Tourism Village dan menyediakan pakej pelancongan berkaitan Cruise Tourism dengan menekankan laluan utama yang berkaitan.
Hajiji menambah, satu kajian Koridor Ekonomi BIMP-EAGA sedang dilaksanakakan oleh Asian Development Bank untuk menilai pencapaian koridor ekonomi BIMP-EAGA sedia ada dan memberikan rekomendasi untuk mengoptimumkan perkembangan ekonomi di rantau ini serta menggariskan strategi-strategi berdasarkan sektor yang berkaitan dengan kajian dijangka siap pada penghujung tahun ini.