Kerjasama KUSKOP dan kerajaan negeri perkasa sektor PMKS di Sabah: Ewon

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan kerjasama antara kementeriannya dan kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan lagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah.

Advertisements

Beliau berkata, kerjasama itu sejajar dengan hasratnya untuk memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak bagi membangunkan sektor PMKS tanpa menjejaskan fokus sedia ada dalam kementeriannya.

“Bagi mencapai matlamat itu saya telah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya satu Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah ditubuhkan bagi menyelaras semua program berkaitan pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan pelbagai kementerian di Sabah.

“Penubuhan jawatankuasa ini yang melibatkan kesemua agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dengan pembangunan keusahawanan di Sabah telahpun dipersetujui oleh kerajaan negeri dan pengerusikan oleh saya sendiri dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

“Saya berharap penubuhan jawatankuasa penyelarasan pembangunan keusahawanan ini mencapai matlamat penubuhan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semasa majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16 Tahun 2024, di DUN Sabah.

Dalam ucapan Tun Juhar menyatakan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan diperkukuhkan dalam melaksanakan program-program berimpak tinggi yang sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa usahawan-usahawan di negeri ini.

Ewon turur merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas kesediaan kerjasama dalam memperkasakan lagi usahawan-usahawan di Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles