TUARAN: Tak kala suasana hubungan kaum dan agama di negara ini semakin meruncing, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau mengajak rakyat supaya merenung ke dalam diri untuk mempertahankan hidup aman damai dan harmoni yang dinikmati selama ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga anggota Parlimen Tuaran menekankan betapa pentingnya rakyat pelbagai kaum dan agama mengamalkan budaya minta maaf dan memaafkan bagi memudahkan interaksi serta mengekalkan harmoni dalam mewujudkan nilai silang integrasi.
Sabah merupakan hos program yang julung kali itu anjuran Malaysia Union Mission of Seventh-day Adventist (MAUM).
“Untuk menikmati kehidupan yang harmoni, setiap individu perlu mempunyai tabiat berlapang dada, suka memberi maaf kepada sesiapa pun yang berbuat salah,” katanya.
Madius berkata demiikian selepas menghadiri Majlis Perasmian
Perkhemahan Pathfinder yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Pantai Dantai, kira-kira 20 kilometer dari pekan Tuaran.
Turut hadir Pastor Abel Bana, Presiden (MAUM) dan Pastor Feldinand B. Sawanai, Presiden Sabah Mission of Seventh Day Adventist.
Sementara itu, Madius mengalu-alukan penganjuran perkhemahan belia itu yang menurutnya mampu mengukuhkan perpaduan dan menyemai nilai-nilai baik.
Lebih 3,000 belia termasuk dari luar negara menyertai Perkhemahan Pathfinder itu.