Perkukuhkan keluarga besar UMNO, raih sokongan rakyat – Bung Moktar

SANDAKAN: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berharap kesepaduan dalam kalangan ahli parti khususnya dalam kepimpinan Umno bahagian perlu terus dipererat bagi mendepani masa depan yang terbaik untuk parti keramat itu.

Advertisements

Beliau berkata, perkara itu amat penting dicapai terutama untuk meraih kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Mulai hari ini, sama-sama kita kukuhkan hubungan kita dari sebarang kekhilafan dan bersatu dalam sebuah keluarga besar UMNO, saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti kita khususnya untuk mendepani cabaran Pilihanraya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang ,” katanya ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa bersama kepimpinan Umno bahagian empat peringkat di Sabah Hotel Sandakan pada Sabtu.

Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan pada masa sama meluahkan harapan kepada kepimpinan bahagian yang ada serta akar umbi parti yang menyokong beliau untuk terus menggalas jawatan sebagai Ketua Umno bahagian itu .

“Yang pergi biarkanlah pergi kerana mungkin mereka ada misi peribadi kita tidak menyimpan dendam, kita yang kekal dengan kesetiaan dan prinsip perjuangan ini akan terus bertahan demi membela masa depan rakyat, membangunkan negeri yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan ini terutamanya insfrastruktur asas yang sempurna,” katanya

Sehubungan itu, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno menegaskan bahawa UMNO mesti terus diperkukuh bagi memastikan dapat melaksanakan tanggungjawab bagi menjadi parti yang menerajui agama, bangsa dan negara.

“Kita mengharapkan kerajaan hari ini mesti berfungsi dengan baik dan tak boleh gagal kerana kerajaan hari ini membawa slogan besar “Sabah Maju Jaya “ yang seharusnya dapat memberikan kebaikan kepada rakyat namun ianya ternyata “Jauh Panggang dari Api” yang harus kita perbetulkan kembali,” katanya.

Dalam hal ini, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menolak dakwaan sesetengah pihak di negeri ini, bahawa UMNO gila kuasa dan mahukan jawatan sedangkan banyak bukti bahawa UMNO tidak sedemikian.

“Asyik UMNO saja yang dituduh gila kuasa, sedangkan kalau kita tamak kuasa maka kita tak akan bagi jawatan Ketua Menteri kepada parti yang kerusinya lebih banyak daripada Umno selepas PRN Ke16, kita berlapang dada beri laluan kepada parti lain kerana kita mahu kestabilan politik dan kerajaan dapat dibentuk segara selepas PRN16,” katanya

Menurut Bung, sikap berlapang dada yang ditunjukan oleh Umno/BN semasa pembentukan kerajaan selepas PRN 16 ternyata tidak dihargai, konsep kerajaan perpaduan tidak selari dengan kerajaan negeri dan dalam diam semasa dalam kerajaan ada percubaan nak “ bunuh” Umno kerana itu kita tarik sokongan kepada GRS.

Bung menambah hari ini lebih 4 tahun kerajaan GRS mentadbir negeri, dengan satu slogan besar SMJ yang sudah tentu menjadi sandaran rakyat, bagaimanapun keadaan bukanya berubah malah lebih parah dari sebelumnya terutamanya dalam insfrastruktur asas, jalanraya air dan elektrik .

“Maka mana-mana parti yang baru sehari dua janganlah bercakap soal memperjuangkan pembangunan, memperjuangkan hak rakyat Sabah,“ Ini rumah Kita,kita jaga” dengan memperlekahkan jasa serta sumbangan Umno selama ini yang nyata turut diakui oleh rakyat malah pemimpin yang ada dalam kerajaan hari ini turut menerima nikmat dari Umno,” jelas Bung.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno bahagian Kinabatangan Datuk Jafry Arifin, Naib Ketua Umno Bahagian Pangiran Aziz Pangiran Damsah,Ketua Wanita Aminah Johan, Ketua Pemuda Mohd Kurniawan Naim Bung dan Ketua Puteri Norfianah Piddin Nani

Related Articles

253FansLike

Latest Articles