SANDAKAN : Kerajaan komited akan terus memberikan komitmen yang tinggi untuk menyalurkan bantuan tanpa diskriminasi kepada mana- mana kaum dan agama di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selaras dengan itu usaha Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) menjalin kerjasama dengan sektor korporat merupakan contoh terbaik bagi memastikan rakyat yang tidak berkemampuan dapat dibantu.
Katanya, usaha UPPM ini harus diberi pujian berikutan mereka memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan untuk mengenal pasti rakyat yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum dan agama.
“UPPM merupakan landasan kerajaan negeri dalam menyampaikan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat.
“Oleh itu, kita sarankan agar semua pegawai dan kakitangan UPPM perlu sentiasa berada di kawasan masing-masing bagi memudahkan masyarakat berjumpa dengan mereka,” katanya pada majlis berbuka puasa di Sandakan di sini semalam.
Teks ucapanya dibacakan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji berkata, jawatan ini perlu digalas menjadikan satu tanggungjawab besar sebagai penghubung kepada rakyat bagi menyampaikan masalah dan kekurangan di kawasan mereka kepada kerajaan.
“Saya turut berasa berbangga dengan usaha murni UPPM di dalam mengimarahkan bulan Ramadan ini, dengan komited dan bersungguh-sungguh membuat majlis iftar di seluruh negeri,” jelas Hajiji.
Menurutnya, kerjasama dengan beberapa syarikat korporat termasukSyarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad perlu dijadikan contoh kepada lain sebagai tanggungjawab sosial korporat CSR mereka.
“Semoga tahun depan lebih banyak syarikat swasta dan sektor korporat yang akan turut serta di dalam program seumpama ini,” tambah Hajiji.