SANDAKAN: “Tidak timbul isu perpecahan dalam Umno Sabah” dalam menentukan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihanraya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Pengarah Jabatan Pilihanraya Umno Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata perkara ini masih diperingkat perbincangan awal, belum dimuktamadakan dan sebarang cadangan soal kerjasama bersama parti lain belum dikemukakan kepada BN Pusat untuk dibincangkan.
Jeffrey yang juga Ketua Umno bahagian Putatan merasa hairan dan pelik bilamana seseorang yang bukannya orang politik dan tidak berada dalam parti Umno/BN lebih arif tentang kedudukan dan situasi semasa Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah yang didakwa berpecah kepada dua kumpulan dalam menentukan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17.
Menurut beliau walaupun individu tersebut seorang penganalisis politik, namun tidak semua tulisan dan pandanganya tepat tentang isu semasa politik di Sabah ,apalagi tulisan dan pandangan beliau tidak berdasarkan fakta dan lebih memihak atau “mengampu” kepada sebelah pihak sahaja.
Jeffery berkata demikian sebagai mengulas pandangan seorang penganalisis politik yang tersiar di Portal Berita FMT hari ini yang menyebut kepimpinan tertinggi BN terpaksa campur tangan bagi mengurangkan pertikaian antara dua puak dalam Umno Sabah berhubung dengan hala tuju pada pilihanraya negeri akan datang
“Ini hanya pandangan peribadi beliau yang cuba menimbulkan persepsi dan spekulasi bagi merosakkan imej Umno/BN Sabah dan umum mengetahui tulisan beliau lebih memihak kepada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS),“ katanya.
Jeffrey berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Umno Zon 5 yang melibatkan Umno Bahagian Libaran, Kinabatangan, Sandakan Batu Sapi dan Beluran di Masjid Raya Seri Aman Pekan Muhibbah Sandakan.
Menurut Jeffery, penganalisis politik terbabit lebih tahu dari pemimpin Umno/BN di Sabah, walaupun pandangan beliau lebih bersifat prejudis dan tidak berfakta yang mencerminkan tahap kedangkalan beliau menyelami dan mengulas isu politik sebenarnya di Sabah.
“Saya nak betulkan fakta untuk pengetahuan beliau (penganalisis) yang diberikan kuasa autonomi ialah “Umno Sabah” Bukan BN Sabah, jadi sebarang Keputusan yang melibatkan BN akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi BN pusat,” katanya.
Tambah Jeffrey, meskipun belum dimuktamadkan soal Kerjasama Umno/BN bersama parti lain bagi menghadapi PRN17 akan datang , GRS) sudah merasa gusar dan gerun bila disebut soal Kerjasama dan terpaksa menggunakan pelbagai medium untuk mengekang dan menafikan kebangkitan rakyat untuk menukar Kerajaan baru pada PRN17 akan datang.
Jeffery berkata, tidak timbul isu Umo Sabah berpecah atas andaian rampasan kuasa atau “Langkah Kinabalu) yang digambur-gamburkan sebelum ini, yang hanya merupakan presepsi melampau ,ini kerana sehingga kini tidak ada bukti menunjukkan penurusan tandatangan (SD) untuk menghadap Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT) sebagaimana berlaku pada tahun 2020 ketika percubaan satu Kumpulan yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman yang sebilangan besarnya disertai oleh pemimpin-pemimpin yang berada dalam GRS sekarang untuk mengulingkan Kerajaan Warisan ketika itu.
“Selepas dakwaan “ Langkah Kinabalu” Umno Sabah masih kukuh, pemimpin Umno yang enggan menerima Keputusan sebulat suara Umno Sabah menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Nor, ada sebilangan pemimpin yang tiada prinsip perjuangan lebih mengutamakan kepentingan peribadi itu bukan gambaran Umno Sabah sudah berpecah, ” jelas Jeffrey.
Dalam pada itu, Jeffrey turut mengulas pandangan Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura yang berkata campur tangan BN pusat mencerminkan keengganannya untuk bekerjasama dengan Warisan, yang disifatkannya sebagai parti serpihan Umno Sabah.
“Tidak timbul soal keengganan atau campur tangan BN Pusat bagi Umno/BN Sabah bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17, kita baru di peringkat perbincangan belum ada pun sebarang keputusan muktamad apa lagi cadangan yang dikemukakan kepada BN Pusat, namun Umno/BN Sabah yakin sekiaranya cadangan dikemukakan, BN Pusat akan memberikan pertimbangan sewajarnya berdasarkan kepada senario politik semasa di negeri ini,” jelas Jeffrey.