Peranan wanita dalam keusahawanan perlu diberi keutamaan – Anna Bell

KUALA LUMPUR: “Mensejahterakan wanita merupakan isu mengambil tempat yang besar dalam hati saya.  Wanita merupakan tulang belakang dan tunjung bagi sesebuah keluarga.  Wanita menjadi nadi dan kekuatan bagi membantu ketua keluarga membina sebuah keluarga yang sempurna.  Wanita berperanan membawa keluar status keluarga miskin tegar kepada tahap ekonomi yang lebih baik melalui penglibatan dalam bidang perniagaan dan ekonomi”.

Advertisements

Senator Anna Bell Perian berkata, bagi memperkasakan kemampuan dan kebolehan wanita dalam bidang keusahawanan ini mereka perlu diberi peluang mengikuti kursus, seminar atau program latihan berkaitan bidang keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, ilmu dan pengetahuan mereka. 

Beliau berkata pemberian modal dan dana juga diberikan kepada wanita yang berkecimpung dalam bidang perniagaan melalui pinjaman kewangan dari institusi-institusi kewangan. 

Katanya, galakan dan insentif kerajaan seperti menyediakan tapak jualan untuk berniaga dan peralatan perniagaan yang lain amat diperlukan bagi membantu wanita dalam berniaga. Program-program pembangunan wanita juga perlu dilaksanakan meliputi golongan ibu tunggal dan wanita berkahwin berpendapatan rendah dalam kategori B40.

Beliau berkata demikian ketika membahas membahaskan titah dan ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di Dewan Negara, Kuala Lumpur semalam.

Anna Bell menambah untuk mendepani corak kehidupan yang semakin mencabar dewasa ini, wanita juga seharusnya diberi ruang untuk menjalani hidup yang sihat dan sejahtera. Pendidikan pengurusan kesihatan mental dan kesihatan diri harus menjadi keutamaan dalam kalangan wanita.  Kesibukan bekerja, mengurus anak-anak dan keluarga menyebabkan berlaku tekanan emosi dan perasaan yang menyebabkan kesihatan mental dan diri wanita boleh terjejas. 

Ketidakupayaan memikul tanggungjawab yang besar dan corak kehidupan yang semakin mencabar boleh mengakibatkan wanita semakin lemah dan mengambil tindakan yang tidak wajar. Wanita harus sentiasa diberikan dorongan emosi dan psikologi. Keupayaan wanita dalam memimpin juga harus diberi ruang, peluang dan kepercayaan ujarnya.

Jelas beliau penglibatan wanita dalam mengorganisasi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan perlu sentiasa diadakan.  Hal ini demikian kerana, melalui penglibatan wanita ini dapat membentuk nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan mereka.  Wanita juga harus diiktiraf kemampuan dan kebolehan mereka dalam menerajui landskap pentadbiran. 

Katanya kepercayaan harus diberikan kepada wanita sebagai golongan yang boleh memberi buah fikiran yang mantap dan jitu dalam membuat keputusan dalam pentadbiran kerajaan.

Anna Bell turut menyuarakan di mana kerajaan negeri Sabah telah memperkenalkan satu pelan pembangunan negeri yang dikenali sebagai Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang telah dilancarkan pada 29 Mac 2021. Hala Tuju Sabah Maju Jaya atau singkatannya SMJ menjadi pemangkin serta iltizam kerajaan negeri untuk membawa Sabah lebih maju dan membawa aspirasi rakyat Sabah maju kehadapan.

Jelas beliau setelah hampir 3 tahun pelaksanaannya, ternyata Hala Tuju SMJ telah dapat membawa negeri Sabah ke landasan yang tepat untuk terus maju dan membangun. Beberapa petunjuk ekonomi memperlihatkan kewibawaan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui GRS. Ini sekali gus menunjukkan momentum yang amat positif terhadap pelaksanaan Hala Tuju SMJ.

Katanya, paling mustahak Sabah telah berjaya merekodkan hasil kerajaan negeri tertinggi dalam sejarah pada tahun 2023 berjumlah RM6.973 bilion. Malah momentum itu telah bermula sejak kerajaan yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengemudi kerajaan negeri dengan merekodkan jumlah hasil negeri yang besar iaitu  RM5.449 billion pada 2021 dan RM6.960 bilion pada tahun 2022.

“Pertambahan hasil bermakna lebih banyak dana dapat disalurkan kepada rakyat. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri Sabah telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk membantu segenap lapisan rakyat, di samping meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada. Selain memperoleh hasil negeri yang tinggi, Sabah juga berjaya mencatat peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion, di samping rekod dagangan antara yang tertinggi dalam sejarah berjumlah RM118.1 bilion pada tahun 2022, selain pertumbuhan ekonomi positif selepas mengalami kejatuhan disebabkan krisis ekonomi global dan COVID-19 pada awal tahun 2020,”ujarnya.

“Apa yang saya sebutkan tadi masih belum cukup untuk membawa rakyat Sabah keluar daripada isu pokok yang membelenggu kami sejak sekian lama. Kami memerlukan komitmen yang lebih serius daripada kerajaan persekutuan. Saya melihat ada ruang dan peluang yang amat baik untuk kita segera selesaikan masalah rakyat di Sabah apatah lagi dengan adanya kepimpinan yang berwibawa yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri.

“Komitmen Perdana Menteri untuk membantu Sabah dan Sarawak dizahirkan dengan beberapa tindakan dan pelaksanaan dasar penting yang berkaitan dengan hak kedua-dua negeri tersebut. Peningkatan kadar pemberian khas sebanyak RM300 juta kepada Sabah dan Sarawak pada tahun 2023 merupakan antara momentum terbaik untuk kita menyelesaikan tuntutan lebih besar khususnya melibatkan 2/5 atau 40% hasil Sabah yang termaktub dalam MA63. Saya meletakkan kepercayaan bahawa kerajaan Madani mampu menterjemahkan kesungguhan kita untuk menoktahkan segala tuntutan yang tertangguh dalam Perjanjian Malaysia 1963,” kata Anna Bell.

Beliau optimis, kerajaan hari ini serius menjadikan Malaysia sebagai negara maju dari segenap aspek.

“Tidak ada golongan harus tertinggal. Berdiri sama tinggi duduk sama rendah Laksanakan mandat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Manfaatkan peluang mentadbir negara untuk membantu rakyat di segenap pelusuk tanah air. Kita berkewajiban menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan rakyatnya Makmur dan sejahtera,” katanya lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles