SANDAKAN: Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Sandakan telah melakukan lawatan ke Fasiliti Kebuk Mampatan atau Recompression Chamber (RCC) milik Cawangan Selam, Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) hari ini.
Lawatan yang disertai 19 orang Anggota UTK PDRM itu bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai fungsi dan kelebihan RCC.
Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 2 Sandakan, ini penting memandangkan ia merupakan satu-satunya kemudahan merawat penyakit berkaitan penyelaman yang terdapat di Sandakan.
Tambahan pula, pasukan UTK Cawangan Sandakan turut melakukan aktiviti penyelaman di sekitar perairan Sabah.
RCC merupakan peralatan utama bagi pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dianggap sebagai instrumen untuk memastikan keselamatan semasa aktiviti penyelaman dibuat.
Antara penyakit yang biasa dirawat ialah keracunan gas karbon monoksida, decompression sickness dan arterial gas embolism.
Terdahulu delegasi lawatan telah diberikan taklimat ringkas oleh Ketua Pegawai Staf Selam MAWILLA 2, Lt Kdr Ghazali bin Soleman TLDM dan Pegawai Perubatan Selam (Hyperbaric and Underwater Medicine), Kapt (Dr) Muhammad Faiq bin Hashim.
Diharap program lawatan itu akan meningkatkan lagi kerjasama antara TLDM dengan PDRM dalam mengekalkan kestabilan, kesiapsiagaan aset, sumber manusia dan keselamatan Negara kita.