KOTA KINABAlU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mengorak langkah membantu merancakkan lagi pembangunan pelancongan di Semporna yang merupakan satu daripada destinasi pelancongan bertaraf dunia di rantau ini.
Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata USIA yang bertekad membugar kembali era kecemerlangan suatu ketika dulu mahu membangunkan dan memanfaatkan sepenuhnya aset tanah milik pertubuhan itu, khususnya yang terbiar.
Ke arah itu, Sapawi berkata USIA telah
menandatangani MoU dengan Sinergi Dayang Sdn Bhd untuk bekerjasama membangunkan tanah USIA di Semporna, bahagian pantai timur Sabah.
Sapawi berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani MoU itu di SICC, di sini pada Jumaat.
Pada majlis itu, USIA diwakili Iman bin Ali, Setiausaha Agung USIA, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Azlan Shah bin Mohd Yusoh menandatangani bagi pihak Sinergi Dayang Sdn Bhd.
Upacara MoU itu turut dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Negeri Sabah Datuk Haji Ruslan Muharam yang mewakili Ketua Menteri Sabah.
Mengikut perjanjian MoU itu, Sapawi berkata kesemua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama sepenuhnya bagi menjayakan misi memajukan lagi industri pelancongan Semporna selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya.
“Kedudukan tanah (di Semporna) pula sangat sangat strategik, dekat dengan akses jalanraya serta kemudahan asas seperti air dan elektrik.
“Persekitaran yang mempunyai pelbagai prasarana selain kewujudan pusat komersial juga diyakini akan dapat menarik minat para pembeli kelak,” katanya.
Difahamkan, Sinergi Dayang Sdn Bhd atau lebih dikenali Citaglobal dipertanggungjawab membangunkan sekitar 108 unit bangunan kedai yang boleh digunakan atau dimanfaatkan untuk tujuan pelancongan, termasuk kemudahan penginapan.
Sapawi berkata projek itu dijangka dimulakan tidak lama lagi dan diharap dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun.
Mengenai pembaikan semula bangunan lama USIA di Sembulan, beliau berkata ia bakal dilaksanakan dalam masa terdekat dan inisiatif itu turut mendapat sokongan padu kerajaan negeri.
Terdahulu, Sapawi berkata USIA telah mengadakan mesyuarat ahli majlis tertinggi dan seterusnya menyampaikan sumbangan sentuhan kasih bersama Asnaf kepada semua wakil USIA bahagian.