KOTA KINABALU : Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) buat kali pertamanya menganjurkan Program Amal Berbuka Puasa di seluruh Sabah sepanjang bulan Ramadan.
Ketua Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, YBhg Datuk Dexter Lau berkata program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
Katanya program tersebut, antara lain, bertujuan membantu golongan yang memerlukan, termasuk Rumah Anak Yatim di sepanjang bulan Ramadan ini.
“Menerusi Program Amal Berbuka Puasa, KTC dan UPPM akan menganjurkan Majlis Iftar Ramadan di beberapa lokasi di seluruh Sabah dengan harapan ianya akan dapat mengurangkan beban keluarga yang kurang berkemampuan.
“Selain itu, Rumah Anak Yatim juga akan dilawati dan mereka turut akan berpeluang memilih baju raya kegemaran mereka di 10 buah Pasaraya Servay yang terdekat,” kata Dexter.
Menurutnya, usaha murni itu mencerminkan komitmen bersama organisasi korporat dengan Kerajaan Negeri bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat umum yang pastinya akan mampu menyerapkan unsur keriangan selain mampu memupuk keharmonian di sepanjang Ramadan yang mulia.
“Selain itu, Program Berbuka Puasa anjuran bersama dengan UPPM ini dianjurkan Khas untuk menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan untuk berkongsi tradisi berbuka puasa bersama,” jelasnya lagi.
Program itu dijadual berlangsung selama tiga minggu di 25 lokasi seluruh Sabah bermula di Kalabakan dan berakhir di Keningau.
“Kita akan menyajikan juadah berbuka puasa komunal di mana golongan anak yatim dan kurang berkemampuan boleh berkumpul untuk menikmati juadah berbuka puasa sambil mengeratkan ikatan silaturrahim dengan masyarakat setempat.
“Dalam bulan Ramadan tahun ini, kami sangat teruja untuk melancarkan Program Berbuka Puasa dan Membeli-belah baju raya bagi anak-anak yatim.
“Ianya suatu inisiatif yang baik demi memupuk semangat belas kasihan, kemurahan hati, dan perpaduan,” katanya.
Pengarah UPPM Negeri, YBhg Datuk Awang Kadin Tang juga ingin mempelawa individu, usahawan dan organisasi lain untuk menyumbang kepada Program Amal Berbuka Puasa melalui sumbangan dana, barangan makanan atau bantuan sukarelawan supaya boleh memberikan impak positif dan kebaikan kepada golongan yang memerlukan.