KOTA KINABALU: Kerajaan negeri seolah-olah tidak dapat mencari jalan keluar untuk menangani isu bekalan air bersih di Sabah, katanya Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin
Beliau berkata, isu bekalan air di Sabah bukanya perkara baru malah ianya sudah berlaku sejak sekian lama, namun tidak ada jalan penyelasaian yang konkrit menjadikan ianya satu krisis besar yang perlu ditangani segera dan memerlukan bantuan dari kerajaan pusat.
Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata walaupun isu bekalan air menjadi tanggungjawab kerajaan negeri namun melihat keadaan ini sebagai masalah yang berlarutan ianya memerlukan bantuan dari kerajaan pusat.
“Saya memang maklum dan faham isu bekalan air di Sabah menjadi tanggungjawab Kerajaan negeri, bagaimana pun apabila ianya menjadi isu yang agak kritikal ketika ini apakah kerajaan pusat berhasrat membantu Kerajaan negeri secara serius bagi mengatasi masalah ini secara total kepada Kerajaan negeri Sabah,” katanya.
Bung berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurutnya kerajaan pusat perlu membantu menyelasaikan isu bekalan air di Sabah yang hampir berlaku di seluruh di negeri ini yang telah menjejaskan kehidupan rakyat.
Sementara itu, ketika menjawap soalan tersebut Fadilah yang juga Menteri Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ,Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.
Beliau berkata kelulusan itu diperoleh selepas Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memohon penyelarasan semula kos, susulan kelulusan Jemaah Menteri pada 27 Sept 2023 yang memperuntukkan RM300 juta secara pinjaman untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Berdasarkan keputusan ini, empat projek baharu telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Ke-12 berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di negeri Sabah.
“Kerajaan Sabah juga telah diluluskan peruntukan sebanyak RM163.55 juta di bawah RP4 bagi projek-projek sambungan.
Fadillah berkata Kementerian beliau akan memastikan projek yang diluluskan dipantau secara berkala dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi yang bertanggungjawab.
Fadilah berkata tumpuan kerajaan pusat ketika ini ialah membantu Sabah menangani isu bekalan air di Sabah yang menjurus kepada kerja-kerja pembaikan dan penggantian paip air
“Sebab Sabah ini, satu daripada cabarannya adalah air tidak terhasil (NRW) yang agak tinggi, lebih 50 peratus, sebab itu keutamaan kita adalah menggantikan paip yang mana kita akan berikan secara geran dan laksana secara bersama dengan Sabah.
“Ini diharapkan dapat mengurangkan NRW tetapi pada masa sama, Sabah sendiri kena ambil tindakan untuk mengurangkan NRW khususnya air yang dicuri dari sumber air bekalan air Sabah sendiri,” katanya.