TUARAN: Sudah tiba masanya pihak berkenaan merangka strategi jangka panjang bagi memanfaatkan sepenuhnya acara menuai ikan di sungai yang melaksanakan sistem tagal untuk tujuan pelancongan.
Bekas ketua kampung Mantob Midin Lobintang berkata amalan sekarang yang menyaksikan Jawatankuasa Tagal
kampung masing-masing menetapkan tarikh dan masa acara menuai ikan dilihat kurang berkesan daripada segi promosi pelancongan.
“Seeloknya Jawatankuasa Tagal Kampung di sepanjang sungai Tuaran dalam kawasan DUN Kiulu berbincang apabila tiba masa masa menuai ikan yang sesuai untuk menetapkan tarikh acara menuai ikan dijalankan di setiap kawasan Tagal.
“Jadual atau senarai tarikh acara menuai ikan Tagal kemudian dihebahkan di akhbar atau media sosial bagi membolehkan pelancong memilih tarikh dan masa yang sesuai untuk datang memerhati dan memeriahkan acara menuai ikan Tagal, termasuk ikut serta tangkap ikan,” katanya kepada Jesselton Times selepas menyertai acara menuai ikan di sungai dalam kawasan Tagal Kampung Mantob baru-baru ini.
Midin turut menzahirkan keyakinan ramai pelancong yang mungkin berminat mengetahui dan mengambil bahagian dalam acara menangkap ikan sungai secara tradisi atau yang dibolehkan oleh jawatankuasa tagal.
Selain itu, katanya program itu dapat mempromosikan lagi sistem undang-undang tagal sebagai salah satu bentuk perundangan adat kampung yang boleh memelihara kemampanan ekosistem sungai, sekali gus menjadi produk eko-pelancongan kampung.