KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan menperkenalkan Anugerah Meranti bulan September ini bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha meningkatkan pembangunan dan pengurusan lestari bagi kawasan hijau, kawasan lapang dan kawasan berlandskap yang dirancang, dibangun dan diurus secara komprehensif.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang mengumumkan ini berkata, ini adalah bagi memenuhi fungsi pembangunan yang memberi impak positif kepada komuniti, alam sekitar perbandaran dan biodiversiti bandar di negeri ini.
Menurut beliau, kriteria (Anugerah Meranti) ini meliputi inisiatif PBT dalam membangun dan menaik taraf taman awam ke arah perancangan lestari, program kesedaran bersama komuniti ke arah persekitaran lestari, merancang inisiatif pengiktirafan kepada PBT dan merancang program penglibatan PBT yang menyokong hala tuju KKTP.
“Melalui pelan tindakan Kementerian di bawah dasar ini kelak, rancangan inisiatif-inisiatif HIJAU akan terus diperkasakan,” katanya.
Inisiatif ini selaras dengan Dasar Landskap Negeri Sabah yang menggariskan hala tuju bagi memastikan pembangunan landskap negeri yang berkualiti, teratur dengan kesenibinaan landskap tersendiri serta persekitaran yang terpelihara, dan mengutamakan pembangunan landskap yang berfungsi dan hija, kata Dr. Joachim ketika berucap melancarkan Program Festival I-HIJAU (Inisiatif HIJAU KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya) : Ke Arah Kod HIJAU Sabah anjuran KKTP untuk tahun ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Festival tersebut merupakan sebuah platform melibatkan semua agensi di bawah Kerajaan Negeri dan pemegang taruh berkaitan untuk bersama-sama menyediakan tindakan kolektif demi usaha menjaga kelestarian landskap persekitaran di negeri ini.
Dr. Joachim berkata, KKTP sentiasa memberi komitmen dalam usaha memperkukuh dan memantapkan penyampaian perkhidmatan dan prestasi PBT dan agensi-agensi di bawahnya.
Katanya, penganjuran Program Festival “I-HIJAU KKTP” Inisiatif HIJAU KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya 2023 yang lalu merupakan platform dan pemangkin tindakan HIJAU di seluruh negeri.
“Program tersebut telah disusuli dengan pelan tindakan KKTP ke arah Inisiatif HIJAU dengan menganjurkan lima siri Bengkel Resolusi I-HIJAU melibatkan PBT seluruh Sabah. Pada tahun ini, susulan daripada I-HIJAU KKTP 2024, KKTP akan menganjurkan beberapa Siri Jelajah I- HIJAU yang akan diadakan di daerah Ranau dan Semporna.
“Kementerian saya, selaku lead agency bagi usaha penghijauan dan kelesetarian persekitaran telah menyediakan platform top down – bottom up seperti hari ini agar dapat berkumpul bersama akar umbi untuk kita kenal pasti isu dan kaedah mengatasi secara amalan lestari,” katanya.
Beliau berkata, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) adalah agenda Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sejak awal 2015 yang merangkumi 17 matlamat bagi mencapai resolusi “Mengubah Dunia Kita: Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan”, iaitu satu resolusi bersama antara kerajaan daripada 193 negara.
“Selain itu, kita juga mengikuti dan mematuhi peraturan dan syarat-syarat yang telah digubal di seluruh dunia seperti “Paris Agreement” (mengurangkan pelepasan gas hijau sebanyak 45% menjelang 2030). Kongres Sedunia ke-60, International Federation of Landscape Architects (IFLA) 2024, menyeru kita agar mengambil tindakan segera untuk mencegah kesan buruk krisis alam sekitar dari pembangunan yang dilaksanakan hendaklah seimbang,” ujarnya.
“Kita sedang berdepan dengan krisis alam sekitar secara global dan kadar perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sehubungan dengan itu, setiap hari kita sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi kemungkinan ancaman bencana alam atau situasi yang ditakrifkan sebagai ‘Kod Merah’.
“Masyarakat juga semakin sedar akan perubahan iklim (climate change) dan pemanasan global (global warming). Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (MET Malaysia), mentakrifkan perubahan iklim ini adalah antara lain disebabkan oleh aktiviti manusia secara langsung atau tidak langsung yang mengubah komposisi atmosfera global (pertambahan Carbon dioxide berlebihan mengakibatkan pemanasan dan kehilangan ozone)
“Sehubungan itu, usaha menangani perubahan iklim perlu dilaksanakan secara bersepadu dan seimbang. Tanggungjawab perlu dipikul oleh semua pihak dalam usaha memastikan kelestarian generasi sekarang dan pada masa hadapan. Kita percaya bahawa kunci untuk menyelesaikan krisis iklim adalah terletak pada pengurangan pelepasan dan transformasi masyarakat bagi menjaga kelestarian alam sekitar,” kata Dr. Joachim.
Beliau melihat Program Festival I-HIJAU (Inisiatif HIJAU KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya) : Ke Arah Kod HIJAU Sabah ini amat bersesuaian sebagai suntikan kepada ‘tadbir urus pembangunan ke arah masyarakat berdaya huni’ selari dengan visi KKTP iaitu Ke Arah Memacu Pembangunan Mampan dan Mencapai Kesejahteraan Masyarakat.
“Saya percaya program seperti ini amat penting dan berfungsi sebagai platform untuk bertukar idea, dialog, kajian dan rangkaian dengan pakar agar dapat mempelajari amalan terbaik bagi menangani isu global masa kini.
“Selain itu, bagi mencapai matlamat pembangunan mampan, integrasi elemen HIJAU perlu diambil kira dalam penyediaan pelan landskap. Landskap bukan sekadar menanam pokok. HIJAU yang dimaksudkan di sini tidak hanya terhad dengan mewujudkan ruang hijau atau taman, tapi elemen fizikal lain seperti taman atas bumbung, sistem penuaian air hujan, penggunaan bahan binaan mesra alam dan penjanaan tenaga boleh diperbaharui melalui sistem kecekapan tenaga solar.
“Program Program Festival I-HIJAU Ke Arah Kod HIJAU Sabah ini dianjurkan sebagai salah satu langkah proaktif untuk melestarikan amalan hijau yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan, Hala tuju Sabah Maju Jaya.,” katanya.
Turut hadir pada pelancaran program tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; Pembantu Menteri I KKTP, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Stanley Chong dan Faridah Giau;
LAr. (Landscape Architect) Nurulhayati Awang More, Pegawai Eksekutif dan semua kakitangan KKTP.