KOTA KINABALU: Masalah air keruh di kawasan Menggatal didakwa berpunca daripada kerja-kerja penyambungan paip transmisi di persimpangan Menggatal pada 23 Februari 2024 yang telah mengakibatkan bekalan air menjadi keruh dan berbau di sekitar Rampayan dan Inanam Laut.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata tindakan segera telah dilakukan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dengan membuat pembuangan air (flushing) pada transmisi utama sepanjang kawasan yang terjejas.
Menurutnya pihak JANS sedang menyiasat perkara itu dan sekiranya terdapat kecuaian dipihak kontraktor, maka tindakan undang-undang akan diambil.
Ir Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengenai isu air keruh di Melinsung, beliau berkata siasatan mendapati air yang dibekalkan dari JANS ke Melinsung Apartment sememangnya bersih.
“Air yang keruh berpunca daripada tangki milik Melinsung Apartment (balancing & elevated tank) yang tidak pernah dibersihkan sejak apartment itu mula beroperasi.
“Kerja-kerja pembersihan tangki adalah merupakan tanggungjawab pihak pengurusan apartment tersebut. Air menjadi keruh akibat gangguan mendapan apabila masuk ke rumah penghuni semasa air dipam masuk ke dalam tangki,” katanya.
Ir Shahelmey berkata JANS masih menanti laporan pembersihan tangki daripada pihak pengurusan Melinsung Apartment.
“Kompaun akan dikeluarkan sekiranya didapati masih belum ada kerja-kerja pembersihan dilakukan,” katanya.
Mengenai masalah kekurangan air di Papar, Ir Shahelmey berkata untuk keselamatan pengguna, operasi loji Limbahau terpaksa dihentikan buat seketika disebabkan krisis air masin yang masuk ke permukaan intake loji itu yang menyebabkan keadaan air mentah tidak dapat diproses untuk disalurkan kepada pengguna.
“Bagi kawasan terjejas disebabkan krisis air masin di Sungai Papar tersebut, pihak Jabatan Air Daerah Papar dalam usaha berterusan membuat penghantaran air ke kawasan yang terjejas.
“Selain itu, air dari loji Kogopon juga disalurkan ke kawasan terjejas namun terdapat beberapa kawasan yang mengalami tekanan air rendah menjadikannya agak sukar untuk disalurkan,” katanya.