KOTA KINABALU: Tunas Asas Bola Sepak Bandaraya Kota Kinabalu (TBB KK) disifatkan sebagai terdesak untuk berlindung di bawah Persatuan Bola Sepak (SAFA) tanpa disedari oleh badan bola sepak negeri itu mengenai kisah di sebalik penubuhannya.
Kebanyakan jurulatihnya sebelum ini yang diketuai oleh Matasan Ahmad menghadapi masalah terutama apabila salah seorang juruatih tersebut telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sabah (SPRM) cawangan Sabah tahun lalu atas dakwaan pecah amanah melibatkan wang yuran pelatih.
Bekas ketua jurulatih berkenaan sepatutnya turut dalam penyiasatan SPRM Sabah berikutan kegagalannya menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua unit kejurulatihan badan yang menjalankan program pembangunan bola sepak tersebut.
Menurut sumber, Matasan telah memaklumkan kepada pengerusi bekas majikannya itu bahawa beliau ingin berehat dalam bola sepak.
Bagaimanapun, Pengerusi TBB KK, Zaim Ansawi telah menawarkan beliau menjadi penasihat berikutan ramai jurulatih tersebut sebelum ini adalah di bawah pengurusannya.
Susulan daripada penyiasatan SPRM terhadap unit kejurulatihan yang diketuai Matasan sebelum ini menyebabkan beliau dalam situasi “kebingungan” dan berusaha mencari perlindungan dengan Tunas Asas Bola Sepak yang baharu ditubuhkan itu.
Ramai daripada jurulatih tersebut dikatakan lebih awal mencari jalan untuk mewujudkan TBB KK dan menggunakan Zaim sebagai pengerusi TBB KK dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tunas Asas Bola Sepak Bandaraya KK Sdn Bhd, kedua-dua entiti sebenarnya saling berkaitan.
Ramai juga penggiat sukan merasa keliru disebabkan nama yang digunakan hampir menyerupai dengan Tunas Asas Bola Sepak (TABS) SAFA Bandaraya Kota Kinabalu yang sudah wujud di Kota Kinabalu kira-kira 30 tahun yang lalu.
Secara kebetulan, penasihat TABS SAFA Banadaraya Kota Kinabalu ialah Datuk Alijus Sipil yang merupakan Naib Pengerusi I SAFA.
Alijus juga merupakan bekas Presiden SAFA Bandaraya Kota Kinabalu dan bekas Presiden dan Setiausaha Agung SAFA sebelum ini.
Sabah Digest ketika cuba menghubungi TABS SAFA Bandaraya enggan mengulas lanjut perkembangan terbaharu itu dan hanya berharap siasatan SPRM itu terhadap mereka yang terlibat dalam isu penyelewengan itu diteruskan.
“Kami juga boleh menyerahkan bahan bukti tambahan sekiranya diperlukan berbuat demikian,” kata seorang jurucakapnya.