BEAUFORT: UMNO bahagian Beaufort telah membuat ketetapan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Kuala Penyu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketuanya Datuk Awang Asli Lakat berkata ketetapan itu dipersetujui dalam mesyuarat ahli jawatankuasa Umno bahagian itu yang dipengerusikannya di dewan mesyuarat Kemas Daerah Beaufort pada Sabtu.
Beliau berkata jawatankuasa UMNO telah memutuskan bahawa calon dari UMNO akan diletakkan sebagai calon bagi kedua-dua kerusi DUN ini dan berharap UMNO pusat akan memberikan pertimbangan .
“Kesepakatan telah kita capai untuk meminta pucuk pimpinan parti bagi meletakkan calon dari UMNO untuk bertanding di dua DUN iaitu Kuala Penyu dan Klias pada PRN akan datang dan cadangqn ini akan kita kemukakan kepada UMNO pusat untuk diberikan perhatian serta pertimbangan, ” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Menurut Awang Asli, susulan itu , Umno bahagian Beaufort telah menyusun jentera parti di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebelum ini, dan 12 PDM telah dibentuk di DUN Kuala Penyu dan 12 PDM di DUN Klias yang pada bila bila masa boleh digerakkan sekiranya PRN diadakan dalam tempoh yang terdekat .
“Kesiapsiagaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan 225 cawangan-cawangan UMNO bahagian Beaufort yang sudah pun disusun atur strukturnya selain jumlah ahli UMNO yang menghampiri 18,000 orang yang bersedia berhadapan dengan PRN akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Awang Asli turut menekankan pentingnya memperkasakan peranan media sosial.
“Kita tahu parti dan pemimpin UMNO kini berhadapan dengan serangan tentera siber pihak lawan dengan pelbagai proganda, fitnah dan cemuhan di mana pihak lawan menjadikan media sosial sebagai platfrom mereka untuk menyerang UMNO, justeru kita tidak boleh berdiam diri selain mempertahankan dan membalas serangan mereka secara berhemah dan berfakta,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu media sosial diaktifkan bukan sahaja diperingkat Pergerakan Puteri dan Pemuda Umno malah ahli biasa di peringkat cawangan perlu aktif menggunakan media sosial.
“Baru-baru ini Puteri UMNO Sabah telah menganjurkan kursus media dan Tik Tok saya berharap mereka yang terpilih dari bahagian ini dalam kursus tersebut akan mengembangkan ilmu yang diperolehi untuk mengajar ahli-ahli lain di peringkat cawangan bagi mempastikan media sosial ini berperanan penting dalam menyampaikan sebarang maklumat dasar dan perjuangan parti selain program-program parti,” katanya.
Pada mesyuarat tersebut juga Umno bahagian Beafort turut menyentuh persediaan untuk menghadapi bulan Ramadan menjelang tiba dengan Menyusun program program berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini dimana jadualkan akan di keluarkan bagi masjid-masjid dan surau-surau yang terpilih dimana kepimpinan bahagian akan turun padang untuk berbuka puasa serta lain lain kegiatan sepanjang bulan ramadan tahun ini.