TUARAN: “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Begitulah pepatah yang jelas menunjukkan bahawa kemahuan seseorang menjadi kunci untuk mencapai apa yang dikehendakinya.
Berbekalkan kemahuan dan semangat yang tinggi, Encik Joluin Joiruh telah mengorak langkah ke arah merealisasikan impiannya untuk membangunkam The Joluin Point – satu kawasan tanah persendirian di Kampung Tompinahaton, Kiulu.
“Sebenarnya saya sudah lama menaruh harapan agar suatu hari nanti tanah persendirian saya di Tompinahaton akan dimajukan untuk tujuan komersial.
“Dan kebetulan kawasan tanah tersebut terletak di tepi jalanraya Kiulu-Tamparuli dan berpotensi dibangunkan sebagai kawasan perniagaan,” kata Joluin kepada Jesselton Times.
Ke arah itu, Joluin berkata buat permulaan beberapa unit kedai telah diwujudkan di The Joluin Point
Ini termasuk kedai makan, kedai runcit dan khidmat mencuci kereta.
Beliau berharap kawasan itu dapat berkembang maju dengan adanya sambutan para pelanggan dari daerah Kiulu dan seluruh Sabah khasnya.
“Saya juga sedar kalau orang lain boleh berjaya dalam bidang perniagaan,
kenapa pula sebagai anak jati Sabah tidak boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain,” katanya.
Joluin, 59, merupakan lulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Beliau pernah bekerja di SESB yang dulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Sabah.
Selepas itu, Joluin berkhidmat di beberapa hotel lima bintang sebagai Ketua Jurutera/Chief Engineer di Hotel Rasa Ria Tuaran dan seterusnya berpindah untuk menimba pengalaman di Grand Dorsett Hotel Labuan.
Tugas terkini beliau ialah Pengarah Kejuruteraan (Director of Engineering) Hotel Amari Kuala Lumpur.