Kerajaan Sabah harus kemuka surat tuntutan rasmi, tuntut 40 peratus kepada Kerajaan Persekutuan: Ewon

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mahu Kerajaan Negeri mengemukakan surat tuntutan secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan untuk menuntut semula 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan persekutuan di Sabah.

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, tuntutan itu mesti dikemukakan kerana beliau percaya selama ini Kerajaan Sabah tidak pernah mengemukakan surat tuntutan rasmi pembayaran semula kepada kerajaan persekutuan.

“Mungkin dalam laporan media, ucapan di Dewan Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) semua itu dituntut tetapi adakah kerajaan negeri Sabah telah mengemukakan tuntutan rasmi? Kita juga mesti mengetahui jumlah hasil untuk tuntutan selama ini dan tahun-tahun seterusnya termasuk tunggakan.

“Saya sangat yakin Ketua Menteri Sabah (Datuk Hajiji Haji Noor) dan kabinetnya akan mengadakan perbincangan dalam kabinet dan seterusnya mengemukakan tuntutan ini.

“Saya juga berharap parti-parti yang mendukung Ketua Menteri mengambil inisiatif mencari mekanismanya kerana ianya sangat teknikal tidak semudah seperti yang kita cakap dan fikirkan selama ini,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Sehubungan itu katanya, UPKO mengambil inisiatif mengemukakan cadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah kepada Ketua Menteri pada 9 Januari lalu.

“Kita mahu kerajaan negeri mengemukakan tuntutan dan tanggungjawab saya adalah melengkapkan tuntutan tersebut sebab saya tidak boleh memfailkan tuntutan bagi pihak kerajaan negeri.

“Saya tidak mewakili suara kerajaan negeri walaupun saya daripada Sabah, bila saya masuk dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63), tetapi atas kapasiti ahli jawatankuasa itu, saya boleh memberi pandangan yang bersesuaian dengan keyakinan dan kepercayaan saya terhadap apa yang saya faham tentang Perlembagaan Persekutuan dan juga tuntutan parti yang saya ketuai.

“Oleh itu, saya berharap Ketua Menteri dan Kabinetnya membincangakan perkara ini dan menghantar surat tuntutan secara rasmi kepada kerajaan persekutuan,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Ketua Menteri baru-baru ini, Ewon berkata, beliau telah mencadangkan kepada Ketua Menteri supaya membincangkan perkara ini secepat mungkin.

“Sebab kita telah berusaha mendapatkan persefahaman dengan Perdana Menteri dan rakan-rakan lain dalam Kabinet Persekutuan. Selama ini kerajaan persekutuan tidak pernah memberi time line, hanya Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tempoh iaitu sehingga Julai tahun ini.

“Tetapi bagaimana kita membincangkan mekanisme ini jika tidak ada tuntutan rasmi daripada pihak Kerajaan Sabah?,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles