TUARAN: Ratusan penduduk kampung Wasai Baru menzahirkan rasa kecewa terhadap wakil rakyat Kiulu yang menurut mereka tidak mengendahkan rayuan demi rayuan untuk mengred atau menaiktaraf jalan kampung dari Kg Mongkonihab ke Kg Wasai Baru.
Wakil penduduk kampung itu. Doimi @ Jimmy Gohon berkata rayuan beberapa kali sudah dibuat sebelum ini, termasuk melalui Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kiulu namun ia tidak membuahkan hasil.
“Asalan yang diberikan “belum ada lagi peruntukan” dan kami pun akur dengan keputusan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jimmy berkata memandangkan tiada tanda-tanda pembaikan akan dilaksanakan, penduduk kampung akhirnya mengambil inisiatif untuk bergotong royong membaiki jalan yang rosak atau berlubang.
Justeru itu, selepas “balik-balik bergotong royong”, Jimmy dengan inisiatif sendiri mengambil tindakan drastik untuk membaiki jalan sejauh 1.5 KM itu menggunakan duit atau dana sendiri, termasuk menyewa hitachi dan membeli minyak diesel untuk kegunaan Hitachi.
Katanya pengreden jalan itu bermula 22 Disember lepas dan siap pada 24 Disember iaitu sehari sebelum Krismas.
Oleh itu, Jimmy mengharapkan sentuhan anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau untuk melakukan yang terbaik.
“Kami sudah cuba sedaya upaya minta tolong wakil rakyat Kiulu, sekurang-kurangnya kos penyewaan hitachi dan kos beli minyak diesel dapat dituntut, malangnya tidak berjaya kerana tiada peruntukan, dan saya mewakili lebih 200 penduduk Wasai Baru betul-betul berharap YB Madius dapat membantu merealisasikan impian kami menikmati jalan yang lebih baik atau dinaiktaraf ke Wasai Baru,” katanya.