PENAMPANG: Usaha untuk membangun Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan kesediaan untuk mengakui, menghargai, dan meraikan keragaman budaya dan agama, sambil mencipta ruang bagi semua warganegara berganding bahu dalam arus pembangunan dan kemajuan negara.
Ketua Wanita UMNO Sabah Senator Datuk Noraini Idris berkata, perpaduan yang kuat akan membawa negara ini melewati berjenis-jenis rintangan dan berbekalkan semangat perpaduan ini, Malaysia mampu menonjol sebagai negara contoh kepada negara lain.
“Perpaduan bukan perkara boleh diambil mudah. Ia memerlukan usaha dan komitmen kukuh serta bersedia untuk mendengar dan belajar sesama kita.
“Proses ini pasti berdepan dengan cabaran dan rintangan, tetapi dengan tekad mantap, hasil tercapai kelak akan jauh menjadi lebih bererti untuk merealisasikan Malaysia Madani yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Santai Krismas dan penyampaian sumbangan hamper dan wang tunai untuk ahli jawatankuasa dan Ketua-Ketua Cawangan Wanita UMNO bahagian Penampang yang meraikan sambutan Krismas dekat sini kemarin.
Menurut Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO bahagian Penampang berkata sebagai negara didiami berbilang etnik, budaya dan agama, inti pati perpaduan menjadi tekad yang menggerakkan harapan masyarakat untuk masa hadapan yang lebih baik.
Sehubungan dengan itu beliau mengajak rakyat di negeri ini agar menjadikan sambutan Hari Krismas sebagai wadah terbaik dalam menjalin hubungan harmoni dan memperkukuhkan perpaduan melalui konsep berkongsi perayaan.
“Konsep Malaysia Madani menjelma sebagai prinsip mendorong kesepakatan, mencetuskan kerjasama antara berbilang etnik dan mewujudkan citra perpaduan negara justeru amalan berkongsi perayaan dan budaya kunjungi mengunjungi perlu terus dikekalkan bagi mengeratkan lagi persefahaman dan perpaduan,” katanya.
Noraini menambah dalam menghadapi pelbagai cabaran global seperti perubahan iklim, ketidakstabilan ekonomi dan ketidaksefahaman kaum serta perbezaan budaya, perpaduan adalah asset tidak ternilai harganya.
“Hanya dengan bersatu dan bekerjasama, Malaysia dapat mencapai perubahan positif serta mewujudkan harapan lebih baik kepada generasi mendatang,” katanya.