Kepimpinan baharu KDM kini fokus PRN

KOTA KINABALU: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berkata, kepimpinan baharu parti itu yang kekal diterajui beliau kini fokus sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka bakal diadakan lebih awal.

Advertisements

Katanya, beliau percaya dengan gabungan pemimpin baharu dan lama, termasuk gabungan antara beliau dengan Timbalannya, Datuk Wetrom Bahanda, KDM akan mampu menyinar pada PRN nanti, terutama di kawasan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

“Saya harap, kepimpinan baharu KDM yang dipilih ini akan fokus kepada PRN yang kita jangkakan tidak lama lagi, mungkin tahun depan kita tidak tahu, apa yang penting kita siap sedia sepenuhnya.

“Saya percaya dengan kepimpinan KDM ini, terutama gabungan presiden dan timbalan presiden, kita akan beri saingan kepada parti-parti lain yang bertanding termasuk yang berasaskan KDM.

” Sehubungan itu, adalah penting untuk kita bersiap sedia dari sekarang, turun padang, jumpa akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu, di sini, semalam.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, beliau yakin KDM akan diterima semua golongan masyarakat sama ada tua atau muda. terutama di kawasan KDM.

Katanya, kekuatan KDM khususnya di luar bandar kini juga semakin terserlah terutama di kawasan Tenom dan Kota Marudu.

“Kita lihat sendiri di Kota Marudu, timbalan presiden kita (Wetrom) menumbangkan presiden PBS (Parti Bersatu Sabah) di sana, saya juga yakin kekuatan sama akan berlaku di kawasan lain pada PRN nanti,” katanya.

Sebelum ini, penganalisis politik Sabah, Mohd Zaki Harry Susanto berkata, walaupun KDM dilihat sebagai parti kerdil, namun parti itu dijangka bakal memberi saingan sengit kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Zaki percaya KDM pimpinan Peter Anthony sedang menyusun strategi terbaik dengan mengambil kira semua pandangan termasuk input daripada pemimpin akar umbi.

“Walaupun sesetengah pihak melihat KDM sebagai parti yang kerdil, namun saya meramalkan KDM bakal memberi cabaran yang kuat kepada GRS terutama di kawsan yang majoriti pengundi dari masyarakat KDM,” katamya

Beliau berkata, ini termasuk DUN Malalap, Kemabung, Sook, Tulid, Tandek, Matunggong, Bandau dan Pitas.

Zaki turut meramalkan KDM akan bertanding di DUN Limbahau, Telupid, Kundasang, Kiulu, Tamparuli dan beberapa kerusi lain di pedalaman Sabah.

“Apapun ini hanya ramalan dan saya percaya dalam masa terdekat KDM akan memutuskan rakan gabungan politik untuk menghadapi PRN,” katanya sambil menegaskan bahawa tiada yang mustahil dalam politik.

Terdahulu, Ketua Penerangan KDM, Dr Oswald Aisat Igau berkata EGM KDM yang telah diadakan semalam telah berjalan lancar.

Katanya, pemilihan AJK Tertinggi bagi sesi 2023-2026 telah berjalan lancar dimana jawatan presiden menerusi kesemua ahli pimpinan tertinggi dengan sebulat suara mengekalkan Peter sebagai presiden.

Katanya, jawatan Timbalan Presiden pula telah dimenangi tanpa tanding oleh Wetrom yang juga merupakan ADUN Bandau dan Ahli Parlimen Kota Marudu.

“Perwakilan pimpinan tertinggi parti menaruh kepercayaan penuh kepada gandingan kepimpinan kedua tokoh politik baharu ini untuk mengalas tugas sebagai pengemudi parti KDM dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri yang bakal diadakan.

“Kedua-dua tokoh politik ini amat popular di kalangan masyarakat Sabah dan mempunyai masa depan yang cerah untuk memenangi kerusi DUN yang akan ditandingi.

“Parti KDM amat bertuah kerana mempunyai barisan pemimpin yang berwawasan jauh ke hadapan di samping masih muda serta menyerlah di peringkat negeri mahupun persekutuan,” katanya.£

Related Articles

253FansLike

Latest Articles