UDA intai prospek pembangunan hartanah di Sabah: Ewon

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, UDA Holdings Berhad (UDA) antara agensi kementeriannya meninjau prospek pembangunan hartanah di negeri ini.

Advertisements

Beliau berkata, ini bagi menyediakan produk hartanah merangkumi kediaman serta komersial untuk bersama-sama kerajaan meningkatkan taraf kehidupan serta sosioekonomi masyarakat tempatan.

“Saya berharap UDA akan terus produktif dalam menyediakan produk serta menawarkan perkhidmatan berkualiti dan memperkasa golongan usahawan terutamanya di kompleks perniagaan UDA bagi memperkasa Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
 
“Kementerian akan sentiasa memberi dorongan kepada agensi serta memantau setiap langkah yang diambil untuk bersama-sama kerajaan menyumbang kepada perpaduan serta hala tuju Malaysia sebuah negara bangsa yang maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival UDA 2023 @ Sabah di, Lintasan Deasoka, di sini, hari ini.

Ewon berkata, penganjuran karnival ini menunjukkan UDA sentiasa komited dalam mendekati masyarakat sebagai usaha membantu meningkatkan taraf kehidupan seiring dengan fungsi dan peranan UDA dalam mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.

“Platform USHANiaga yang dimuatkan dalam karnival ini juga memberi peluang serta membantu usahawan tempatan mempromosikan produk-produk yang diusahakan,” katanya.

Beliau berkata, usaha murni UDA menghimpunkan usahawan-usahawan UDA, agensi KUSKOP serta agensi-agensi lain menunjukkan UDA sentiasa proaktif untuk bersama-sama kementerian memperkasa golongan usahawan.
 
“Program MARI dan KIRANA yang disediakan oleh UDA untuk membantu perkembangan perniagaan usahawan termasuklah usahawan di Sabah selari dengan salah satu fokus kementerian iaitu meningkatkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor bernilai tinggi serta menembusi pasaran global,” katanya.

Mengenai Karnival UDA, Ewon berkata, UDA mensasarkan 100 usahawan dalam Karnival UDA di Sabah merangkumi pelbagai jenis perniagaan antaranya makanan, fesyen, aksesori, produk kesihatan dan perkhidmatan, dengan nilai sasaran jualan RM2 juta.

“Selain itu, pameran dari agensi kerajaan pusat dan negeri serta unit beruniform turut dimuatkan dalam karnival selama tiga hari yang bermula pada 24 hingga 26 November ini,” katanya.
 
Beliau yakin, Karnival UDA berjaya mencapai sasaran 500 usahawan bagi empat lokasi penganjuran tahun ini iaitu Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Perak pada Disember ini, dengan nilai jualan RM10 juta.

“Melihat kepada penyertaan hampir 300 usahawan serta pencapaian jualan berjumlah RM5.48 juta dalam Karnival UDA yang telah dilaksanakan di Johor dan Pulau Pinang, saya percaya UDA mampu mencapai sasaran itu tahun ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles