KOTA KINABALU : Tindakan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mencemari perjanjian kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Rakyat Sabah (GRS) menjadi faktor utama UMNO Sabah menarik diri sokongan kepada Kerajaan Negeri sebelum ini.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata sudah tentu UMNO Sabah kesal dengan polemik politik yang terjadi sehingga membawa kepada penarikan sokongan kepada Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Hajiji.
Katanya telah banyak versi yang cuba dimainkan bahawa UMNO Sabah ini antaranya dilabelkan sebagai gila kuasa dan jawatan.
“Pada hakikatnya UMNO Sabah cuba berpegang teguh kepada setiap prinsip persefahaman di antara tiga parti utama semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang lalu, iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di bawah gabungan politik yang dinamakan sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS). (Sebelum didaftarkan sebagai parti politik berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan)
“Yang mana setiap komponen dalam gabungan ini berkongsi kuasa dan harus saling menghormati dalam membuat sesuatu keputusan demi kepentingan rakyat.
“Malangnya, perkongsian kuasa ini tercemar apabila Hajiji telah membelakangi Perjanjian Kerjasama BN dan GRS dengan menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan membentuk Kerajaan Persekutuan sebelum ‘patah balik’ (u-turn),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Suhaimi yang juga Ketua Bahagian UMNO Libaran berkata kemuncaknya apabila Hajiji bertindak memecat Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah tanpa berbincang dengan pemimpin utama BN Sabah.
“Yang lebih mendukacitakan apabila pemimpin-pemimpin UMNO Sabah cuba dilaga-lagakan dengan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada salah seorang pemimpin utama negeri untuk menggantikan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
“Ke mana sudah hilangnya semangat perkongsian kuasa dan hormat-menghormati itu..UMNO Sabah juga mempunyai maruah politik. Kalau sudah pemimpin yang diangkat menjadi ketua bertindak sesuka hati, sudah pasti UMNO Sabah akan bertindak balas.
“Setiap tindakan ada tindakan balas (Every action has a reaction). Maka wajarlah untuk UMNO Sabah menarik sokongan kepada Kerajaan Negeri pada hari ini,” tegas Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran.
Beliau menegaskan UMNO Sabah mengambil tindakan sedemikian demi menjaga kepentingan parti bukan kepentingan peribadi.
Justeru itu, Suhaimi berkata UMNO Sabah menasihatkan Hajiji selaku Presiden Gagasan Rakyat dan Ketua Menteri Sabah, berlaku adillah dan jujur kepada rakan kongsi anda selepas ini.
“Pimpinlah negeri ini dengan baik dan teratur,” katanya.
Beliau berkata UMNO Sabah akan menjadi pembangkang yang berhemah di negeri ini dalam melaksanakan semak dan imbang demi kepentingan rakyat.