Mata pelajaran Sejarah digubal mengikut garis peristiwa sejarah sebenar negara: KPM

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah diperkenalkan secara holistik menggunakan pendekatan kronologi dan tematik bermula dari Tahap II sekolah rendah sehingga ke Tingkatan Lima sekolah menengah dan digubal mengikut garis peristiwa sejarah sebenar negara.

Advertisements

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, bertujuan untuk memastikan murid mengenal dan memahami gambaran menyeluruh tentang sejarah negara dan sejarah dunia yang selari dengan peristiwa sejarah negara untuk menghayati perasaan dan semangat cinta akan negara.

Perkara itu dinyatakan dalam satu jawapan bertulis kepada Soalan Lisan Datuk Seri Panglima Madius Tangau [ Tuaran ] pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini.

Dalam soalannya, Madius meminta Menteri Pendidikan menyatakan sama ada Kementerian bercadang untuk mengkaji semula buku-buku teks sejarah kepada sebuah buku teks yang menceritakan kisah sejarah yang betul.

Menurut KPM, pada peringkat sekolah rendah, mata pelajaran Sejarah diajar kepada murid bertujuan untuk menyemai ilmu pengetahuan dan asas Kemahiran Pemikiran Sejarah di samping penerapan semangat patriotik melalui pengetahuan sejarah.

“Pemahaman asas pengetahuan sejarah negara dapat meningkatkan pengetahuan sejarah tanah air di samping memupuk semangat cinta dan bangga kepada negara.

“Pada peringkat sekolah menengah pula, pelaksanaan kurikulum mata pelajaran Sejarah yang bermula pada tahun 2017 memasukkan sejarah budaya, sosial, sukan, sejarah perkembangan politik negara dan penekanan kepada elemen patriotisme.

“Selain itu, kementerian tersebut turut memaklumkan bahawa skop sejarah dunia diperluaskan dengan memasukkan isu-isu antarabangsa yang selari dengan sejarah negara,” ujar KPM.

Kementerian itu turut memberitahu bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah telah ditubuhkan pada 3 Mei 2011 untuk menentukan hala tuju perkembangan kurikulum mata pelajaran Sejarah agar relevan dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan negara.

“Jawatankuasa ini juga bertujuan mengkaji kesesuaian kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah dengan hasil pembelajaran yang menekankan penghayatan dan pengamalan perpaduan serta patriotisme.

“Selain itu, jawatankuasa ini menjalankan penilaian terhadap ketepatan fakta dalam kurikulum dan buku teks Sejarah, serta menghasilkan laporan berbentuk perakuan hasil kajiannya kepada Menteri Pelajaran Malaysia.

“Ini bertujuan untuk memastikan bahawa pengajaran Sejarah di negara ini memenuhi standard yang tinggi dan memupuk semangat patriotik serta pemahaman yang mendalam mengenai sejarah negara.

“Berdasarkan laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah, Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah ditubuhkan untuk memantapkan kurikulum Sejarah dan penulisan buku teks Sejarah di samping mengemukakan beberapa cadangan utama.

“Peranan Panel Pakar Rujuk amat penting dari aspek memberi idea, mengesahkan fakta sejarah dan memastikan kandungan dalam kurikulum Sejarah serta buku teks Sejarah adalah sahih, tepat dan benar serta selari dengan peristiwa sejarah negara dan dunia,” tambah KPM lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles