Matbali minta Kerajaan Pusat beri perhatian empat isu utama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah mengetengahkan empat isu utama ketika perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, sambil berharap Kerajaan Pusat memberi perhatian segera demi kepentingan rakyat negeri ini.

Advertisements

Beliau berkata empat isu kritikal, iaitu bekalan air, elektrik, jalan raya dan telekomunikasi sudah membelenggu negeri ini sejak sekian lama.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya ia diberi perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan, seiring agenda pembangunan Malaysia Madani.

“Kita berharap dan merayu kepada Perdana Menteri agar dapat kiranya menyelesaikan sepenuhnya isu-isu ini secara tuntas, kerana ia begitu dekat di hati rakyat di negeri kami.

“Kita faham bahawa kos menangani isu-isu ini agak tinggi, namun ia tidak harus menjadi alasan untuk menidakkan hak kami sebagaimana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya ingin bertanya kepada Menteri yang berkenaan, bilakah kerajaan Pusat melaksanakan semua yang termaktub dalam MA63?,” katanya.

Matbali berkata bukanlah menjadi rahsia lagi betapa Sabah semakin jauh ketinggalan dari segi infrastruktur asas, berbanding di Semenanjung.

“Kami mohon dengan sejujurnya, tolonglah kami, bantu kami, untuk menangani empat isu kritikal ini,” katanya.

Menurutnya, keperluan bagi empat isu berkenaan penting untuk diselesaikan kerana ia juga merupakan kunci utama bagi kerajaan menarik pelabur.

Dalam pada itu, Matbali turut membangkitkan beberapa isu rakyat di kawasan Sipitang, antaranya Jalan Mendulong ke Long Pasia yang merupakan laluan utama penduduk beberapa kampung, termasuk Meligan, Ulu Bole, Iburu, Long Mio dan Long Pasia.

“Keadaan jalan yang terabai bukan sahaja menyusahkan penduduk tempatan, tetapi juga menghalang pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan ini.

“Sehubungan dengan itu, kita meminta kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya menyatakan status projek jalan Mendulong-Meligan dan terus ke Long Pasia-Kalimantan,” katanya.

Turut dibangkitkan ialah pembinaan dan pembaikan beberapa jalan lain di Parlimen Sipitang yang perlu diberi perhatian.

Antaranya termasuk jalan Kg. Luagan Sanginan, Kg. Batandok Lupak, Kg. Lupak, Kg. Tuhu Lupak, Kg. Gadong, Kg. Labi, Kg. Lalanggut, Kg. Suasa, Kg. Kaundu, Kg Pintas dan Kg. Barumbai.

“Jalan ini letaknya di tebing Sungai Padas, dan mengalami hakisan teruk yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Beliau turut bertanya mengenai status cadangan menaik taraf Jalan Kg. Bangkalalak ke Kg Mentulud di DUN Lumadan, sejauh 2.5 kilometer.

Dalam pada itu, Matbali turut berterima kasih kepada Kerajaan Pusat atas kelulusan satu daripada perkara yang pernah bangkitkan sebelum ini, iaitu projek jalan raya dikenali sebagai Jalan Iburu.

“Kelulusan projek itu sudah dikeluarkan dan pelaksanaannya dijangka dimulakan awal tahun depan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles