ANAK NEGERI tegur Jabatan Pendidikan Labuan tergesa-gesa pindahkan guru kanan sekolah misionari Labuan

INANAM: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) telah menegur Jabatan Pendidikan Labuan kerana tergesa-gesa memindahkan seorang guru sekolah kanan berhubung pertikaian penempatan salib di dalam premis sebuah sekolah misionari Katolik di Labuan.

Advertisements

Timbalan Presidennya, Terence Tsen berkata tindakan Jabatan Pendidikan Labuan memindahkan guru kanan tersebut dalam tempoh 24 jam tanpa alasan yang munasabah sama sekali tidak wajar.

Terence menggesa agar guru yang sudah lama berkhidmat itu dikembalikan segera ke sekolah asalnya dan tindakan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa mereka.

Beliau berkata, pertikaian mengenai penempatan salib di premis sekolah misionari itu boleh diselesaikan tanpa perlu mengambil tindakan melampau itu.

Terence menggesa Kementerian Pendidikan agar mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai hak sekolah misionari meletakkan simbol salib di premis sekolah mereka.

Terence telah mempersoalkan tindakan guru2 Islam dan Jabatan Pendidikan Labuan yang telah menuntut pemindahan salib di dalam premis sekolah misionari, dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai sengaja, tidak wajar dan merupakan suatu penyalahgunaan kuasa.

Terence berkata Jabatan Pendidikan Labuan tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan salib atau sebarang simbol agama di sekolah misionari.

Beliau berkata penempatan simbol agama seperti salib di sekolah misionari adalah hak yang dilindungi di bawah undang-undang Malaysia.

Terence turut mempertikaikan dakwaan kononnya terdapat aktiviti jin yang dikaitkan dengan salib yang didakwa menyebabkan guru2 dan pelajar ketakutan dan histeria.

Katanya, ketakutan terhadap salib berpunca daripada khurafat, bidaah dan kurang ilmu.

Mungkin, ada orang menonton terlalu banyak filem mengenai eksorsisme atau terlalu banyak membaca dakwaan yang dibuat oleh seorang ulama Islam di Indonesia bahawa kononnya terdapat “unsur jin” yang dikaitkan dengan salib.

Bagi orang Kristian, katanya, salib melambangkan kekudusan dan kehadiran Tuhan. Apa yang mereka lihat boleh jadi malaikat Tuhan dan cahaya yang saleh, bukan syaitan.”

“Kristian menggunakan simbol salib untuk mengusir atau mengalahkan kuasa jahat, bukan menarik mereka.”

“Seperti lambang anak bulan di setiap masjid, simbol salib juga terdapat di setiap bangunan dan rumah gereja Kristian.”

“Kes histeria massa yang dikaitkan dengan salib jarang berlaku, jika ada. Histeria massa boleh menjadi manifestasi khayalan atau roh jahat yang tidak ada kaitan dengan salib.

“Tindakan Pegawai Pendidikan itu jelas bercanggah dengan pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan pada Januari 2013 mengenai hak sekolah misionari untuk meletakkan simbol salib di premis bangunan mereka.”

Terence berkata, Pegawai berkenaan perlu membaca pekeliling berkenaan dan menerangkan kandungan pekeliling itu kepada guru2 dan ibu bapa beragama Islam.

Terence mengingatkan pegawai itu bahawa sekolah misionari di Labuan, Sabah dan Sarawak telah wujud bertahun-tahun sebelum Malaysia ditubuhkan.

Beliau berkata sekolah misionari telah melahirkan ramai individu yang cemerlang seperti Menteri Kerajaan, pegawai, pemimpin politik profesional dan ahli perniagaan.

Terence berkata, rakyat Sabah dan Sarawak termasuk Labuan tanpa mengira agama harus memupuk sikap toleransi dan memahami fahaman agama masing-masing.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles