KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memberi ‘nafas baharu’ kepada program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang telah dilaksanakan sejak 1992.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kertas kabinet sedang disediakan oleh KUSKOP berkaitan dengan penambahbaikan program SDSI sesuai dengan keperluan dan situasi masa kini, terutama memodenkan dan mengantarabangsakan produk yang dihasilkan di bawah program tersebut.
“KUSKOP akan meneruskan program SDSI ini pada tahun-tahun seterusnya, tetapi kita akan menambah nafas baharu bagi memodenkan produk SDSI, memberi identiti baharu sesuai dengan keperluan dan situasi masa kini supaya produk-produk yang dihasilkan dapat menembusi pasaran antarabangsa.
“Kementerian sedang menyediakan kertas kabinet untuk saya angkat ke mesyuarat kabinet,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan program Showcase SDSI Peringkat Wilayah Sarawak, di Plaza Merdeka Shopping Centre Kuching, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Premier, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.
Sebelum ini Ewon semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) pada 7 September lepas turut membincangkan penambahbaikan program SDSI dengan menggalakkan penubuhan koperasi di kalangan komuniti pengusaha yang telah dipilih dengan meminda keahlian minimum kepad lima ahli sahaja bagi menubuhkan sesebuah koperasi.
Mesyuarat tersebut juga bersetuju supaya Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), sebuah agensi KUSKOP akan dilantik sebagai agensi pelaksana kepada program SDSI tersebut.
Sementara itu, Ewon menyatakan bahawa Showcase SDSI Peringakat Kebangsaan akan diadakan di Melaka pada 7 hingga 8 Oktober di Melaka International Trade Centre (MITC).
Terdahulu itu ketika berucap, Ewon berkata, Showcase SDSI merupakan inisiatif KUSKOP untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang inklusif kepada perusahaan SDSI dan usahawan setempat.
“Showcase SDSI menyediakan platform pengkomersialan, menerusi pameran dan jualan produk-produk beridentitikan sesebuah daerah.
“Showcase ini juga bertujuan memberikan pendedahan kepada umum bahawa keluaran SDSI adalah berkualiti dan berpotensi tinggi,” katanya.
Beliau berkata, KUSKOP komited dalam memastikan agenda keusahawanan di negara ini dapat dibangunkan secara holistik dan inklusif.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan berkualiti di seluruh negara. Kementerian melalui SME Corp Malaysia telah diperuntukkan dana tambahan untuk memperkenalkan Program Bumiputera Enterprise Enhancement Programme (BEEP) Plus bertujuan mewujud dan membangunkan syarikat bersaiz mikro milikan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“Melalui BEEP Plus, usahawan boleh memanfaatkan geran sehingga 70 peratus daripada kos projek atau maksimum RM250,000,” katanya.
“Dalam pada KUSKOP dan agensi-agensinya berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik, merangkumi aspek pemasaran, kewangan, pembangunan kapasiti dan latihan, niatnya tidak lain adalah supaya seramai mungkin usahawan dan bakal usahawan menerima manfaat daripada inisiatif-inisiatif ini.
Showcase SDSI yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin dijadiri lebih 13,000 pengunjung dengan jumlah potensi pembiayaan lebih RM18 juta.
Turut hadir, Ketua Setiausaha
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap
Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dzulkornain Masron dan ketua-ketua jabatan dan agensi.
Sementara itu, Ewon berkata, pembukaan kampus baharu Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Sarawak selari fokus tambahan untuk Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).
Beliau berkata, Kampus INSKEN Sarawak adalah cawangan kedua, selepas pembukaan Kampus INSKEN di Sabah pada Mei lepas dan ibu pejabat di Cyberjaya Selangor.
“Sebelum tertubuhnya Kampus INSKEN Sarawak sememangnya INSKEN telah pun mengadakan pelbagai latihan dan program keusahawanan di Sarawak melibatkan 63 program dan sehingga kini jumlah keseluruhan peserta daripada Sarawak seramai 2784 orang dari tahun 2020 hingga tahun ini.
“Manakala pada tahun ini, kita telah mengadakan 27 program di Sarawak setakat ini yang telah memberi manfaat kepada 865 orang dan INSKEN akan terus menganjurkan latihan ataupun program bimbingan keusahawanan tahun ini.
“Saya berharap dengan adanya kampus baharu ini, usahawan di Sarawak boleh mengambil bahagian daripada program-program yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kampus INSKEN di Sarawak Plaza Shopping Complex, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pembukaan Kampus INSKEN di Sarawak juga bertepatan dengan usaha kementerian untuk memperkasa lebih ramai usahawan di negeri ini.
“Saya berharap dengan adanya cawangan ini lebih ramai usahawan dan bakal usahawan di Sarawak merebut peluang mengikuti program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh INSKEN,” katanya.
Kampus INSKEN Sarawak dilengkapi bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta dalam satu masa. Fasiliti lengkap yang disediakan memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran dan pembangunan usahawan selain kos efektif untuk menjalankan program latihan dan bimbingan.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, kelebihan Kampus INSKEN di Sarawak adalah lokasi strategik di bandar memudahkan aksesibiliti kepada semua usahawan dan peserta program daripada kawasan sekitar.