Kekalkan integrasi sosial, jadikan Sabah sebagai negeri contoh: PGRS Likas

KOTA KINABALU: Semua masyarakat diseru untuk mengekalkan integrasi sosial dan perpaduan negeri Sabah sebagai sebuah negeri yang terus dicontohi dan dikuti sebagai ikon perpaduan.

Advertisements

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Likas, Mohammad Bahrin Abd Karim berkata amalan perpaduan kaum di negeri Sabah telah wujud sekian lama dan generasi semasa perlu terus memegang peranan untuk mengekalkannya.

“Kita sedar bahawa perpaduan kaum amat penting bagi kita di Sabah khasnya kerana kita terdiri daripada pelbagai suku kaum dan anutan agama.

“Untuk mengekalkan keharmonian dan integriti sosial yang kita ada ini, perkara terpenting adalah elakkan segala insiden yang boleh mencemarkan perpaduan serta mengusik sentimen yang akan menimbulkan isu rasis.

“Kita perlu terus pegang tanggungjawab untuk memastikan integriti sosial yang positif ini terus dikekalkan dan sentiasa ingat bahawa Sabah adalah negeri contoh dan tauladan kepada negetri lain di Malaysia, dalam aspek perpaduan kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Persidangan PGRS Bahagian Likas 2023 yang berlangsung di sini pada Sabtu.

Menurut Mohammad Bahrin lagi, selain daripada mengekalkan perpaduan, masyarakat perlu mencintai ilmu dan menguasai pelbagai bahasa.

“Penguasaan pelbagai bahasa adalah antara langkah untuk kita menjayakan diri dan menonjol ke depan khasnya di peringkat global.

“Penguasaan pelbagai bahasa juga mampu menjadi pengikat kepada keharmonian bangsa, sekaligus mengukuhkan jalinan perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita PGRS Bahagian Likas, Halijah Din semasa ucapan beliau berkata perlaksanaan sesebuah aktiviti khasnya bagi menyampaikan wadah perjuangan parti adalah akan lebih berkesan jika dilaksanakan secara kerja berpasukan.

“Kita jangan jadikan kekangan dari segi jumlah atau bilangan yang sedikit, tetapi kita jadikan bilangan kita, yang ada dalam kumpulan kita ini, saling bekerjasama dan bergerak sebagai sebuah pasukan kerana perjuangan kita kepada akar umbi pasti akan lebih bermakna jika kita bergerak seiringan,” katanya.

Persidangan tahunan tersebut merupakan persidangan kali pertama bagi PGRS sejak ditubuhkan pada Mac 2023.

Dalam persidangan yang berlangsung selama sehari itu, hampir 300 ahli PGRS Bahagian Likas serta rakan-rakan PGRS Bahagian Api-Api dan perwakilan negeri.

Hadir sama dalam persidangan Ketua PGRS Bahagian Api-Api Datuk Faisyal Yusof Hamdain Deigo, Ketua Beliawanis PGRS Sabah merangkap Ketua Beliawanis PGRS Bahagian Api-Api Emmie Martin Idang, Naib Ketua Bahagian PGRS Bahagian Api-Api Johann Joseph Diego, Ketua Wanita PGRS Bahagian Api-Api Salmi Sarinoh, Ketua Pemuda PGRS Bahagian Api-Api Syahrul Safwan Najwan Faisyal, Timbalan Ketua Bahagian PGRS Likas Muammar Julkarnain, Naib Ketua Bahagian PGRS Likas Dr. Awang Faisal Awang Rahim, Ketua Pemuda PGRS Likas Syahmee Mohd Ron dan Ketua Beliawanis PGRS Bahagian Likas Noor Azie Ashikeen Asngari.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles