SANDAKAN: Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengambil tindakan segera keluhan pemandu mengenai kerosakan jalan raya di Jalan Labuk Batu 16, Kampung Gum-Gum.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata jalan raya di kawasan tersebut perlu diperbaiki dan diselenggara dengan baik kerana ia merupakan laluan utama untuk ke daerah ini.
Katanya beliau sudah sering kali mengutarakan kerosakan jalan raya di jalan itu dan pernah membawa pihak JKR untuk melihat sendiri keadaan jalan raya tersebut.
“Selepas dibaiki, jalan raya di kawasan itu kembali rosak akibat dilalui kenderaan berat khususnya lori..ini memerlukan jalan raya tersebut khususnya sentiasa dipantau penyelenggarannya agar sentiasa dalam keadaan baik.
“Jangan tunggu keluhan pengguna jalan raya itu barulah kerja pembaikan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataa, hari ini.
Semalam, Sabah News Today melaporkan keluhan seorang pengguna mengenai jalan raya Batu 16 di Gum-Gum rosak teruk yang berlubang dan beralun yang boleh membahayakan pemandu.
Dalam pada itu, Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah sekali lagi meminta agar persimpangan di Gum-Gum dipasang lampu isyarat untuk keselamatan pemandu khususnya penduduk kampung di Gum-Gum.
Katanya persimpangan masuk ke Kampung Gum-Gum di Jalan Raya di Batu 16 itu merupakan laluan utama dan penduduk kampung terdedah kepada bahaya ketika keluar atau masuk dari simpang kampung ke laluan utama.
Beliau berkata sudah beberapa kali kemalangan berlaku di persimpangan jalan tersebut dan perlu ditangani sebelum berlaku kemalangan jalan raya yang lebih teruk.
Menurutnya pelancong juga melalui jalan raya ini jika mereka ke Kinabatangan dan kerosakan jalan raya itu boleh memberikan imej tidak baik pelancongan di Libaran, Kinabatangan dan Sandakan.