Dukung Perlembagaan Persekutuan 1963. Elakkan Perubahan Mendadak

Oleh MP Tuaran, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Advertisements

KOTA KINABALU: Kelestarian mana-mana negara tidak boleh diambil ringan seolah-olah ia satu kepastian. Sekurang-kurangnya tiga buah negara telahpun hilang di dunia hari ini kerana wilayah-wilayahnya memilih untuk berpisah sama ada secara damai atau berperang: Soviet Union, Yugoslavia dan Czechoslovakia. Sekurang-kurang lima buah negara lain: Pakistan, Ethiopia, Indonesia, Sudan dan Malaysia telah mengubah sempadan kerana ada wilayah yang memilih merdeka.
Mari kita bersyukur dengan keberadaan Malaysia yang telah mencecah usia 60 tahun pada 16 September 2023. Semoga negara kita akan teguh berdiri sampai selama-lamanya. Untuk melestarikan Malaysia, kita perlu menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963 yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan Malaya 1957 tetapi diubahsuai oleh sebuah triti antarabangsa dan berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perlembagaan Persekutuan 1963 yang asal adalah kontrak sosial kita. Kita perlu pastikan agar setiap jaminan, perakuan serta janji-janji MA63 dikotakan malah boleh ditambahbaik lagi dengan desentralisasi yang lebih mendalam dan meluas. Akan tetapi, pada masa yang sama, kita mesti menguruskan/mengendalikan (manage) perubahan dengan berhati-hati. Kita janganlah menggesa-gesakan sebarang perubahan sebelum muafakat tercapai dengan suara hati semua pemegang taruh didengari dan diambil kira. Dalam keadaan politik tanah air yang kurang stabil dengan pelbagai kesangsian dan kebencian ditabur oleh pihak-pihak tertentu, pengurusan perubahan (change management) menjadi lebih penting lagi. Saya mengambil-berat tentang desakan sepuluh buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim untuk disegerakan pindaan Perlembagaan atas kekhuatiran kes mahkamah yang mencabar kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam.
Https://www.sinarharian.com.my/article/278927/berita/semasa/10-ngo-seru-pinda-perlembagaan-sistem-perundangan-islam
Saya berempati tentang kekhuatiran saudara-saudara Muslim saya tetapi saya merayu dan memohon kebijaksanaan semua pihak agar proses ini tidak dikendalikan secara mendadak dan ekslusif seolah-olah pindaan Perlembagaan ini adalah urusan Muslim dan akan diputuskan hanya oleh ahli-ahli parlimen Muslim yang membentuk majoriti lebih besar daripada dua pertiga. Saya memohon kebijaksanaan Raja-raja Melayu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Hamzah Zainuddin, pimpinan semua parti politik dan NGO-NGO, daripada pelbagai komuniti untuk melihat sesama lain sebagai pemegang taruh dalam semua isu yang melibatkan kaum, agama dan bahasa. Kita semua pemegang taruh kerana kita hidup saling bergantungan. Undang-undang dan dasar-dasar boleh membawa kesan limpahan (spillover effect) ke atas Kumpulan yang bukan sasarannya. Sebagai contoh, sebuah fatwa yang dikeluarkan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 melarang orang bukan Muslim untuk menggunakan 32 perkataan berasal Arab termasuk Allah, injil dan rasul. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2014/01/15/are-non-muslims-in-penang-sabah-bound-by-allah-state-fatwa/599581 Perkataan-perkataan ini adalah konsep lumrah digunakan oleh ketiga-tiga agama daripada langit (Abrahimic religions). Bagaimana kuasa Enakmen ini boleh menyekat rakyat bukan Muslim seperti kami anak negeri Sabah yang beragama Kristian dan berbahasa Melayu? Tidakkah Perlembagaan Persekutuan 1963 dan Batu Sumpah Keningau menjanjikan bahawa kebebasan agama dijamin di Malaysia? Saya memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan oleh dirinya, dengan kedua-dua Menteri Agama dan Menteri Perpaduan Negara menjadi Naib pengerusi, serta menteri-menteri kanan daripada parti-parti Kerajaan sebagai ahli-ahlinya untuk membawa musyawarah dan membina muafakat atas segala isu-isu kaum, agama dan bahasa untuk mengelakkan keputusan terdesak.
Untuk semua isu yang sensitif, semua pemegang taruh sekurang-kurangnya perlu diberitahu dan didengari suara mereka. Ini satu-satu caranya kita boleh mengelakkan tercetusnya perbalahan politik oleh pihak yang cuba menangguk di air keruh.Jangan sampai semua pihak pun memobilisasikan akar-umbi untuk mendesak atau membantah. Masa itu terlalu lewat untuk menyejukkan suhu.
Pada tarikh keramat Hari Malaysia yang mulia dan bersejarah ini, mari kita menghargai sesama rakyat Malaysia sebagai saudara dan bersama-sama mencari penyelesaian yang paling kemas. Mari kita tunjukkan kepada tetangga kita bahawa Malaysia juga, bukan saja Indonesia, berupaya mencapai ‘Kesatuan kepada Kepelbagaian”.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles