KOTA KINABALU : Rakyat Malaysia khususnya generasi muda perlu menghayati nilai dan erti kemerdekaan sekaligus menghargai perjuangan pemimpin masa lalu demi
meneruskan usaha menjaga negara ini agar terus aman damai, bersatu padu dan makmur.
Focal person Kebangsaan Kementerian Pendidikan bagi Kumpulan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta di Sabah, Mohammad Arif Tun Sakaran berkata nilai dan erti perjuangan membebaskan negara dari cengkaman penjajah sehingga Malaysia kini maju dan penduduknya hidup dalam keadaan sejahtera serta bersatu padu, perlu terus diperingati oleh generasi muda sebagai aset negara dan pemimpin pelapis pada masa akan datang.
Mohammad Arif berkata pemimpin-pemimpin negara terdahulu telah melalui banyak cabaran dan pengorbanan untuk mempertahankan tanah air sehingga negara kini mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan, saya menekankan penerapan nilai perpaduan yang perlu diberi keutamaan, yang mana kita perlu mengingati pejuang-pejuang kemerdekaan kita di masa lampau khususnya pejuang ketika penjajahan.
“Kita tentunya ingat kesusahan semasa penjajahan di mana kita tidak mempunyai peluang pendidikan dan ekonomi kerana kita dijajah.
“Kita bersyukur kerana selepas 66 tahun, negara kini berada dalam keadaan aman damai dengan ekonomi yang baik selepas bebas dari cengkaman penjajah,” katanya.
Generasi kini amat beruntung kerana mereka mewarisi kemerdekaan negara kita dan dapat hidup senang dan aman hasil perjuangan pemimpin dan rakyat terdahulu untuk mencapai kemerdekaan.
“Kita kini mempunyai sekolah-sekolah yang sudah dibangunkan. Perjuangan pemimpin lampau perlu dihargai dan kita akan meneruskan usaha ini dan menjaga negara ini agar terus aman damai dan makmur,” katanya.
Mohammad Arif berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Gotong Royong Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, Kota Kinabalu, pagi tadi.
Program ini diadakan serentak di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Program Gotong Royong Madani yang
bermula 7.30 pagi sehingga 11 pagi ini disertai
kira kira 200 murid dan ibubapa SK Sembulan, meskipun dalam keadaan cuaca yang kurang mengizinkan.
Antara kawasan dibersihkan, persekitaran sekolah, kawasan parkir kenderaan dan perhentian bas di luar kawasan sekolah.
Program Gotong Royong Madani dianjurkan untuk mendidik pelajar, ibubapa dan komuniti untuk menyemai sifat menjaga kebersihan.