Naik Taraf Stadium Likas, Ikut Jadual ditetapkan – Ellron

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin mengesahkan proses kerja penambahbaikan dan naik taraf Stadium Likas berjalan dengan lancar mengikut jadual.

Advertisements

“Saya melihat proses penambahbaikan dan naik taraf Stadium Likas berada pada landasan menepati jadual yang telah dipersetujui,” katanya.

Ellron berkata demikian kepada pemberita semasa turun padang meninjau kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf Stadium Likas hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan percubaan Scoreboard yang menggunakan sistem teknologi Omega dan memberikan respon yang amat positif.

Antara kemudahan lain yang bakal meletakkan Stadium Likas setanding dengan stadium lain di Malaysia ialah penggunaan sistem VAR (Video Assistant Referee) iaitu satu sistem yang amat penting untuk digunakan oleh para pengadil.

“Penggunaan teknologi tinggi iaitu sistem Scoreboard dan sistem VAR merupakan satu perkembangan positif kepada sukan bolasepak Sabah dan pastinya peminat-peminat sukan bolasepak sudah lama tertunggu-tunggu perubahan positif kepada stadium ini,” tambah beliau.

Selain itu katanya kemudahan itu bukan sahaja dimanfaatkan untuk sukan bolasepak tetapi juga kejohanan sukan lain akan mendapat impak positif iaitu penganjuran yang lebih cekap dan berkesan sekaligus meningkatkan kredibiliti dan kualiti sukan negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Difahamkan proses penambahbaikan dan naik taraf berkenaan yang bermula pada bulan Mei tahun ini telah hampir siap 90 peratus dan dijangka bakal siap sepenuhnya sebelum 15 September tahun ini.

“Meskipun belum siap sepenuhnya, kita sudah boleh mula beroperasi dan perlawanan dalam Liga Super esok antara Sabah FC dan Negeri Sembilan dijangka akan menggunakan sistem teknologi yang baru,” kata Alfried Bily, Pengurus Stadium Likas.

Antara yang hadir mengiringi Menteri dalam lawatan berkenaan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Tuan Terrance Edward Puddin dan pegawai tertinggi KBSS dan LSS.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles