GRS pimpinan Hajiji dalam lanskap politik blok Borneo

KOTA KINABALU: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenanjung menampakkan faktor kemenangan parti dan sikap pengundi yang menuntut pengukuhan politik blok Borneo – Sabah dan Sarawak.
 
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang merealisasikan pengukuhan blok Borneo dalam misi mengedepan agenda Sabah. Suatu agenda yang selari dengan pencapaian rakan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Sabah dan Sarawak dalam blok wilayah Borneo bertanggungjawab memperkukuh sumber pembangunan bagi memayungi rakyat semua kaum dan agama.
 
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor selaku Pengerusi GRS telah memetakan acuan kontekstual politik Sabah yang relevan dalam konteks blok Borneo untuk menghadapi PRN DUN Sabah setahun akan datang.
 
“Hajiji telah meletakkan lanskap ekonomi dan pembangunan kukuh bagi kuasa politik rakyat Sabah. Hajiji juga telah mengedepankan keharmonian kaum dan agama dalam pengagihan kek kemakmuran Sabah,” katanya hari ini.
 
Dalam agenda politik kebangsaan, Christoper berkata, GRS pimpinan Hajiji telah memutuskan hala tuju menyokong kerajaan baharu Persekutuan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Advertisements

Tambahnya, menerusi langkah itu, GRS telah menyumbang usaha mewujudkan kestabilan politik negara.
 
“Kestabilan politik itu telah dapat memastikan kesinambungan usaha bersama Persekutuan untuk membangunkan Sabah. Keputusan yang selari dengan GPS itu berjaya meredakan situasi ekoran kemelut pasca Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
 
“Selaku pemimpin berpengalaman, Hajiji tahu pro dan kontra setiap langkah kepemimpinannya. Namun demikian, sebagai ketua kerajaan, Hajiji bertanggungjawab menyatukan perjuangan politik pimpinannya.
 
“Di Sabah, isu-isu kepentingan rakyat dalam persekutuan yang disuarakan kini menjadi agenda GRS. Isu MA63, 40 peratus agihan Sabah dari kutipan persekutuan di negeri ini, Nature Conservation Agreement (NCA) dan sambutan Hari Sabah 31 Ogos sedang dilaksanakan serta ditangani dengan baik.”
 
Menurut Christoper lagi, komposisi etnik dalam Jemaah Menteri Sabah telah diperkukuhkan, termasuk hirarki dalam DUN Sabah.

“Dan yang paling utama ialah kesungguhan Hajiji menangani isu-isu asas seperti bekalan air dan elektrik. Demikian juga dengan pelbagai usaha menaik taraf dan membangun kemudahan infrastruktur.
 
Penjanaan ekonomi, pembangunan rakyat dan negeri serta keharmonian kaum dan agama sedang menjadi agenda teras kepimpinan Hajiji dalam GRS. Isu-isu teras yang sejajar dengan pencapaian GPS itu sedang mewarnai konteks politik blok Borneo.
 
“Konteks politik blok Borneo amat jauh berbeza dengan warna politik PRN di enam DUN yang baru lalu. Konteks politik blok Borneo dapat menjamin pembangunan dalaman serta mendukung kestabilan dan kekuatan kepimpinan Putrajaya,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles