Ekonomi negara kini kembali pulih dengan pertumbuhan 8.7 peratus 2022 – Zahid

KOTA KINABALU: Ekonomi negara yang terkesan dengan wabak Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021 kini kembali pulih dengan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022.

Advertisements

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pencapaian prestasi ekonomi yang membanggakan itu sebahagiannya didorong oleh aktiviti ekonomi gerakan koperasi negara yang kini berjumlah 15,315 koperasi.

Menurutnya gerakan koperasi telah berjaya menjana perolehan perniagaan berjumlah RM45.5 bilion pada tahun 2022.

“Pencapaian ini merupakan satu kejayaan buat gerakan koperasi negara yang telah wujud lebih 100 tahun di negara kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Koperasi Kebangsaan 2023 di Kota Kinabalu hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Ahmad Zahid berkata keanggotaan koperasi kini mencecah angka 7.3 juta ahli dengan pengumpulan modal syer dan yuran sebanyak RM16.5 bilion.

“Saya melihat masyarakat kita semakin berminat untuk melibatkan diri dengan koperasi dan menjadikannya salah satu wadah untuk membantu memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti berkumpulan,” katanya.

Katanya dalam usaha Kerajaan membawa negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025, negara ini berhadapan dengan isu kenaikan kos sara hidup.

“Isu ini merupakan antara cabaran yang besar yang perlu ditangani pada waktu ini,” katanya.
 
Oleh itu, Ahmad Zahid berharap gerakan koperasi di negara ini dapat terlibat secara serius dalam membantu ikhtiar Kerajaan menurunkan harga barang-barang keperluan asas terutamanya gula, tepung, minyak, ayam, dan telur.

Beliau turut menghargai usaha KUSKOP dan SKM yang telah melaksanakan Jualan Madani Koperasi yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian sehingga 20% daripada harga pasaran di Coopmart bagi membantu Kerajaan meringgankan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Perdana Menteri turut
berharap peruntukan sebanyak RM100 juta yang disediakan oleh Kerajaan bagi tahun 2023 melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMP-SKM) dapat membantu koperasi melaksanakan projek-projek yang berpotensi dan berdaya maju dalam membangunkan ekonomi negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ewon berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah mengorak langkah bagi membantu usaha Kerajaan menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

Beliau berkata ini termasuk menjenamakan semula kedai-kedai koperasi di seluruh negara secara berperingkat di bawah satu nama sahaja iaitu CoopMart bagi menyeragamkan model perniagaan mereka.
 
Sehingga kini, beliau berkata sebanyak 2,581 kedai runcit koperasi dengan jenama CoopMart telah beroperasi di seluruh negara.

“Melalui rangkaian CoopMart ini, anggota koperasi serta masyarakat setempat boleh mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Selain itu, Ewon berkata kementerian melalui SKM telah melaksanakan Pelaksanaan Jualan Madani Koperasi (JMK) yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian sehingga 20% daripada harga pasaran.
 
Beliau berkata gerakan koperasi turut diberi tanggungjawab bagi membantu memperkukuhkan keterjaminan bekalan makanan negara (food security) melalui penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan.

Sehingga kini, katanya terdapat sebanyak 172 koperasi telah terlibat secara khusus dalam sektor agromakanan yang meliputi aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan pembekalan input pertanian/ternakan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles