SANDAKAN : Program Kembara Perdana Kesedaran Alam Sekitar bertemakan “Penyelidikan ke arah sumber alam lestari” anjuran HUTAN sebuah organisasi berpengkalan di Kinabatangan akan diadakan di 13 sekolah di negeri ini bermula 31 Julai ini hingga 27 September.
HUTAN, sebuah organisasi melaksanakan Program Konservasi Orang Utan sejak 1998 bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menjalankan aktiviti konservasi flora dan fauna di Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.
Sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, SMK Madai, SMK Paris, SMK Beluran, SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah Semporna, SMK Bukit Garam II, SMK Tungku, SMK Agaseh, SMK Pinggan-Pinggan Ranau, SMK Abdul Rahim Kudat, SMK Kota Marudu II, SMK Usukan Kota Belud dan SMK Matupang Jaya Ranau.
Pengarah Urusan HUTAN Datu Md Ahbam Abulani berkata HEAP merupakan unit gerakan organisasi HUTAN yang aktif di seluruh Sabah sejak 1998 sehingga ini.
Katanya peranan utama HEAP adalah untuk menyebarkan serta berkongsi maklumat menjurus kearah kelestarian sumber alam (Flora dan Fauna).
Beliau berkata sejak 2006 HEAP telah berdaftar sebagai ahli dalam Rangkaian Program Pendidikan Alam Sekitar (SEEN-Sabah Environmental Education Network) dan bersama dalam jaringan pelaksanaan misi gerakan program konservasi dan kesedaran alam sekitar peringkat Sabah dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain selaras dengan polisi (SEEN) yang sedia ada.
“Antara perkongsian maklumat adalah berkenaan dengan perincian hasil kajian aktiviti konservasi organisasi HUTAN yang melibatkan beberapa spesis hidupan liar terancam di Sabah serta spesis tumbuhan yang menjadi sumber habitat dan makanan utama hidupan liar.
“Disamping mengentengahkan isu-isu alam sekitar secara menyeluruh untuk menjana modal insan yang perihatin dan bertanggungjawab terhadap kelestarian sumber alam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Md Ahbam berkata sehingga kini HEAP telah menjelajah semua daerah dikawasan sabah dan melibatkan seramai 151,322 golongan pelajar (sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti) serta 10,070 guru.
Manakala seramai 25,850 masyarakat setempat dari beberapa daerah yang terpilih juga telah terlibat sama dalam program yang bertemakan
“Pendidikan dan kesedaran alam sekitar”, katanya.
Beliau berkata HEAP bermatlamat untuk menerapkan nilai-nilai murni serta kepentingan alam sekitar dengan lebih berkesan melalui aktiviti luar sekolah yang sejajar dengan saranan dan sukatan pelajaran serta ko-kurikulum sekolah.
Pengurus HEAP Noratika Husir merakamkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Sabah serta semua sekolah yang terlibat diatas sokongan membenarkan penglibatan murid sekolah rendah dan sekolah menengah dalam program pendidikan dan kesedaran alam sekitar anjuran organisasi HUTAN.
“Penglibatan pelajar dalam program pendidikan dan kesedaran alam sekitar sehingga kini sangat mengalakkan, diharap aktiviti seumpama ini akan membantu para pelajar lebih peka dan bertanggungjawab untuk turut sama melindungi khazanah sumber alam lestari khususnya di negeri bawah bayu ini (Sabah)”, kata Noratika.