SANDAKAN: Penamatan Perkhidmatan Jalur Lebar ‘Secara Percuma’ di seluruh Sabah oleh Kementerian Komunikasi dan Digital adalah tidak wajar dan mengundang masalah kepada ratusan ribu pelajar di kawasan luar bandar.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata ratusan ribu pelajar di kawasan luar bandar Sabah masih bergantung dengan Perkhidmatan Jalur Lebar ‘Secara Percuma’ bagi meneruskan aktiviti pembelajaran harian.
“Tidak semua kampung ada memiliki Pusat Ekonomi Digital (PEDi) atau sebelum ini dikenali sebagai Pusat Internet Komuniti untuk pelajar kunjungi, ada pun terletak jauh dari kampung mereka,” katanya ketika mengulas mengenai penamatan Perkhidmatan Jalur Lebar ‘Secara Percuma’ yang tular hari ini.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menjelaskan para pelajar di kawasan luar bandar masih bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan berkenaan yang diletakkan di lokasi strategik seperti dewan dan balai raya.
“Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sewajarnya membuat kajian secara menyeluruh berhubung perkhidmatan itu sebelum menamatkan perkhidmatan itu.
“Jika benar, notis yang telah dikeluarkan kepada pengendali PEDi di seluruh Sabah dengan mengesahkan bahawa perkhidmatan itu akan ditamatkan dengan kadar segera. Kontrak untuk membekal perkhidmatan internet jalur lebar percuma itu belum lagi diperbaharui dan mungkin tidak akan diperbaharui oleh pihak kementerian untuk masa ini.
“Ini adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku sekaligus akan bakal mengundang masalah kepada masyarakat luar bandar khasnya golongan pelajar B40 ,” tegasnya.
Suhaimi meminta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil membuat penjelasan berhubung perkara ini dan apa inisiatif baharu kementerian untuk diperkenalkan oleh kerajaan bagi memastikan golongan pelajar luar bandar Sabah ini tidak terjejas dalam menjalankan aktiviti pembelajaran mereka yang memerlukan akses internet.