KOTA KINABALU: Jentera UMNO Sabah bersedia membantu kempen pilihan raya di enam negeri di Semenanjung yang akan diadakan pada 12 Ogos depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sebagaimana yang diamanahkan oleh UMNO Pusat, tumpuan jentera UMNO Sabah adalah bagi membantu kempen di Selangor.
Namun, sekiranya ada negeri lain yang memerlukan bantuan jentera UMNO Sabah dalam berkempen, mereka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.
Ketika ini, Sabah merekodkan jumlah keahlian paling ramai di seluruh negara dengan 583,979 orang ahli.
Dengan kekuatan yang ada, jentera UMNO Sabah bersedia untuk berjuang dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) dan juga kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun,, bilangan pemimpin dan jentera yang akan ditugaskan bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung akan ditentukan kemudian.
“Bilangan pemimpin dan jentera UMNO Sabah akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan dengan barisan pimpinan UMNO negeri,” katanya.
Bung berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di beberapa Pusat daerah mengundi di Parlimen Gombak baru baru ini.
Menyertai beliau Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafray Arifin dan beberapa orang Ketua UMNO bahagian
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, UMNO Sabah akan melakukan usaha kempen yang terbaik dan berkesan sebagaimana pengalaman yang dilalui semasa membantu kempen di PRN Melaka dan Johor bagi mempastikan kemenangan calon-calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mencapai kemenangan dalam PRN kali ini.
“Kita akan bergerak berkempan dari rumah ke rumah mengurangkan kempen secara perhimpunan kerana kempen rumah ke rumah walaupun di Selangor ini kawasannya agak luas namun yang lebih efektif dan berkesan,” jelas Bung.
Kira-kira 9.7 juta orang pengundi akan terlibat dalam PRN di enam negeri yang akan diadakan secara serentak pada 12 Ogos. Enam negeri itu adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala, 8 Ogos pula sebagai tarikh pengundian awal.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos.