KUANTAN: Lebih RM14 juta Pinjaman Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) dan geran bantuan pembangunan disampaikan kepada 10 koperasi dari Zon Timur sempena pelancaran Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 (BKK’23), di sini, hari ini.
Bantuan tersebut meliputi bantuan Koperasi Prihatin Rakyat, SCOPE, EFast dan Transfer yang menjalankan aktiviti kredit dan pembelian bangunan.
Daripada jumlah itu, lima koperasi menerima Pinjaman TMPSKM bernilai RM13,930,000 dan selebihnya
menerima geran bantuan pembangunan bernilai RM665,000.
Bantuan berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ewon berkata, penganjuran BKK’23 bertemakan ‘Malaysia MADANI Teras Kecemerlangan Koperasi’, bertepatan dengan aspirasi teras satu MADANI iaitu memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi gerakan koperasi sekali gus melonjakkan pendapatan negara di samping memberi keuntungan dan manfaat kepada ahli serta rakyat secara keseluruhannya.
“Sehingga Disember 2022, terdapat 15,315 buah koperasi di seluruh negara dengan jumlah keanggotaan sekitar 7.3 juta.
“Sebanyak RM45.5 bilion perolehan koperasi disumbangkan kepada pendapatan negara sekali gus membuktikan kepentingan gerakan koperasi kepada ekonomi negara selaku penyumbang ketiga penting selepas sektor awam dan swasta.
“Manakala, jumlah modal syer dan yuran koperasi pula mencatatkan RM17 bilion dengan penjanaan aset berjumlah RM160 bilion,” katanya.
Beliau berkata, di negeri Pahang sahaja, terdapat 1,146 koperasi dengan keanggotaan sekitar 302,000 orang dan berjaya merekodkan perolehan lebih kurang RM970 juta.
“Justeru, Pahang merupakan antara negeri mempunyai bilangan koperasi yang tinggi dengan mencatatkan pendapatan kedua tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Selain itu, sebanyak 10 koperasi di Pahang tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi tahun 2022.
“Antara koperasi di Pahang yang berjaya menunjukkan prestasi membanggakan adalah Koperasi Serbaguna Dara Berhad menduduki tangga ke-17 dengan perolehan sebanyak RM39.1 juta dan Koperasi Felda Sebertak Pahang Berhad menduduki tangga ke-45 dengan perolehan RM17.9 juta,” katanya.
Pelancaran BKK’23 yang diadakan di Dewan Bandaraya, Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan disempurnakan oleh Wan Rosdy.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengurusan Tertinggi KUSKOP serta Ketua-Ketua agensi di bawah KUSKOP.