HAWA tekad laksanakan pendekatan proaktif bela nasib rakyat – Shahrizat

KOTA KINABALU: Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) bertekad untuk melaksanakan pendekatan proaktif dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat.

Pengerusi HAWA Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata bagi mendakap perubahan itu, HAWA perlu melakukan anjakan paradigma untuk menjadi penghubung yang menyatukan suara masyarakat awam.

“Kita tidak boleh lagi dilihat berjuang untuk sesama kita sahaja..kita mungkin akan ketinggalan di belakang.

“Sebab itu, HAWA bertekad membuka penyertaan bukan sahaja di kalangan wanita tetapi juga kaum bapa..kita menghormati kepelbagaian kaum dan agama,” katanya.

Shahrizat berkata demikian kepada pemberita pada majlis santai bersama HAWA di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi HAWA Datuk Rosnah Rashid Shirlin, Pengerusi HAWA Sabah Hajah Aminah Johan, Ketua Wanita BN Sabah Senator Datuk Noraini Idris dan Timbalan Pengerusi Penjanaan Ekonomi HAWA Kebangsaan Datuk Rahmajan Sulaiman Khan.

Shahrizat berkata HAWA memberi penekanan kepada tujuh bidang, termasuk HAWA Hak yang memperjuangkan hak-hak wanita dan masyarakat sivil.

Beliau berkata HAWA turut memfokuskan pewujudan kerjasama pintar yang melangkaui sempadan politik kepartian.

Shahrizat berkata halatuju HAWA bakal ditentu ukur berdasarkan realiti kehidupan rakyat dan maklum balas sebenar dari pelbagai pihak.

Menurutnya perubahan yang berlaku dalam politik negara menuntut pendekatan yang berbeza sesuai dengan tuntutan semasa.

“Inilah politik masa depan yang HAWA ingin ketengahkan. Kita mahu mendekati semua NGO dan pihak berkepentingan dan dari situ kita kutip semua keluhan rakyat untuk kita bawa ke perhatian kerajaan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles