Kerajaan Sabah laksanakan “pemutihan” ke atas penyewa PPR

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksanakan “pemutihan” ke atas penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) kendalian Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di negeri ini.

Advertisements

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata kementeriannya dan LPPB akan membentuk satu Jawatankuasa Kerja bagi merealisasikan pelaksanaan program pemutihan itu.

Beliau berkata pemutihan itu, antara lain, bertujuan menentusahkan status kelayakan para penyewa bagi memastikan hanya mereka yang layak dan benarbenar memerlukan berpeluang menduduki rumah PPR.

Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata langkah itu diyakini dapat mengelakkan mereka yang mencari keuntungan daripada penyewaan rumah PPR, “seperti amalan sewa-atas-sewa”.

“Ia juga membolehkan agar para pemohon untuk menyewa yang masih ramai menunggu berpeluang menyewa rumah yang dikosongkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa surat pekeliling LPPB bertarikh 19 Jun 2023 mengarahkan para penyewa yang telah melebihi tempoh 10 tahun untuk mengosongkan rumah PPR mereka, hanya terpakai kepada para penyewa yang telah hilang kelayakan untuk terus menduduki rumah PPR tersebut.

Dr Joachim berkata pihak Kementerian dan LPPB mengesali segala kesulitan yang timbul daripada ketidaktepatan kandungan surat pekeliling tersebut.

Katanya antara kriteria yang boleh menyebabkan seseorang penyewa kehilangan kelayakan untuk terus menyewa di rumah PPR kendalian LPPB ialah.

(a) Menduduki rumah tersebut secara sewa atas sewa;
(b) Pendapatan melebihi RM3,000.00;
(c) Penyewa atau pasangan telah mempunyai rumah sendiri;
(d) Penyewa yang menjadikan rumah sebagai persinggahan/stor mereka; Penyewa menjadikan rumah sebagai ‘homestay’ dan/atau Penyewa yang mempunyai tunggakan sewa.

Dr Joachim berkata kementerian dan LPPB juga menerimapakai saranan Ketua Menteri Sabah untuk memperuntukkan sebahagian rumah PPR kendalian LPPB kepada para graduan baharu sebagai tempat tinggal sementara atau ‘transit home’ mereka sementara mereka berikhtiar mendapat pekerjaan dan mampu menyewa atau memiliki rumah kediaman mereka sendiri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles