KOTA KINABALU: Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menggariskan tiga inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi menyediakan ruang kepada generasi muda menjadi matang dan dewasa seiring dengan pembinaan kapasiti intelektual dan kembara ilmu.
Beliau berkata kementerian itu kini dalam proses meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).
Menurutnya pindaan-pindaan yang dicadangkan itu antara lain, memfokuskan kepada seksyen-seksyen yang menyentuh kebenaran persatuan mahasiswa untuk mengumpul dan mengurus kewangan sendiri.
“Kita mahu mahasiswa belajar untuk menjadi mandiri dan berdikari. Yakin dengan keputusan yang diambil. Belajar untuk bertanggungjawab dengan apa jua keputusan yang dibuat.
“Jadi, mereka harus bijak, matang dan bertanggungjawab. Kita tidak akan kenal erti tanggungjawab selagi kita tidak diberikan sebarang amanah,” katanya.
Khaled berkata demikian ketika berucap pada majlis Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (MAHEPA), Universiti Malaysia Sabah di sini malam tadi.
Beliau berkata kementerian itu juga kini sedang berusaha menambah baik dan giat membangunkan satu ekosistem pro mahasiswa.
Ini termasuk memastikan persekitaran, kemudahan dan proses mengikuti pengajian tinggi boleh berlaku dengan selesa, selamat dan menyeronokkan.
Selain itu, beliau berkata kementerian telah melancarkan program Semarak Siswa Madani minggu lepas dalam usaha memperkasakan penguasaan ilmu.
Katanya program itu merupakan satu rangkaian aktiviti yang dirangkumkan dalam empat jenis program utama.
Ini termasuk iTVET@ Komuniti Madani, Student for Society (S4S), KPT Prihatin Madani dan Inovasi Sosial – Knowledge Transfer Program.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Khaled berkata tidak ada program pengajian di UMS yang dipendekkan tempoh pengajian daripada empat tahun kepada tiga tahun.
Menurutnya sebelum ini, kementerian berkenaan mengenal pasti 44 program pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bakal dipendekkan termasuk pengajian sains sukan dan teknologi maklumat.