SIPITANG: Cadangan pemberian ‘Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ)’ kepada penduduk Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) merupakan satu langkah penyelesaian terbaik serta berperikemanusian.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (WARISAN) Abd Aziz Taip berkata, cadangan ini boleh dilaksanakan sekiranya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersetuju selain penduduk SFI mempunyai tanah atau di bina atas tanah kerajaan secara berkelompok.
Katanya, langkah ini akan menyerlahkan keprihatinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap nasib anak bangsa Sabah yang sedang ditimpa musibah dan kesusahan.
“Umum tahu pekerja SFI berhadapan gaji tertunggak, mungkin ada diantara mereka juga sebenarnya tidak mempunyai atau memiliki tanah mahu puun rumah untuk berpindah sekiranya keluar mengosongkan kawasan diwartakan tersebut.
“Sudah tentu mereka tidak mempunyai alternatif untuk berpindah dan juga dibelenggu oleh kekangan kewangan akibat gaji yang tidak dibayar sejak sekian lama.
“Maka, disinilah seharusnya kerajaan negeri tampil secara berperikemanusiaan serta bertanggungjawab untuk membantu pekerja SFI yang terdiri daripada penduduk tempatan negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Abd Aziz merupakan Ketua Bahagian Warisan Sipitang berkata, kerajaan melalui Datuk Hajiji Noor mampu bertindak secara lebih proaktif, berperikemanusiaan sekali gus bertanggungjawab dalam menangani krisis yang dihadapi pekerja SFI.
“Apalah salahnya jika pekerja SFI ini diberikan rumah SMJ yang dibanggakan tersebut dan mereka adalah rakyat Sabah yang layak menerimanya kerana tergolong dalam kelompok rakyat yang sedang dalam kesusahan.
“Notis mengosongkan kawasan dikeluarkan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bermula 24 Mei 2023 hingga 22 Jun 2023 akan berkuatkuasa dalam tempoh lebih kurang 24 jam dari kenyataan ini dibuat.
“Meskipun pelbagai usaha dilakukan khususnya oleh penduduk SFI yang terjejas namun sehingga kini belum ada petanda kerajaan negeri di bawah GRS ingin membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Menurutnya, ini bermakna kerajaan negeri sekarang dibawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor seolah-olah dengan sengaja membiarkan penduduk terbabit dihalau keluar tanpa sebarang bantuan diberikan.
“Namun, apa yang lebih diharapkan oleh penduduk adalah sikap perikemanusiaan serta bantuan kerajaan negeri khususnya dalam proses mengosongkan kawasan berkenaan.
“Kerajaan negeri juga boleh mempertimbangkan bayaran saguhati berbentuk kewangan kepada penduduk SFI bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan di masa depan,” katanya.