Isu rezab padang ragut Babagon, penyukatan tanah di Togudon sedang ditangani Kerajaan – Ewon

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, beberapa isu penduduk kampung terutamanya berkaitan rezab padang ragut dan penyukatan tanah di kawasan Penampang mendapat perhatian kerajaan dan sedang ditangani.

Advertisements

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kedua-dua isu itu antara yang terawal beliau ambil tindakan selepas dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang.

“Cadangan penyukatan tanah secara PANTAS di Kg Togudon dan penukaran status rezab kawasan ragut di Kg Babagon Timpangoh dan Kg Tinduuzon Sugut kepada warta tanah kampung merupakan antara yang terawal saya ambil tindakan dengan memanggil mesyuarat khas melibatkan jabatan Kerajaan berkaitan dan ketua-ketua kampung. Hari ini Kerajaan sedang menangani isu-isu dan bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan.

“Perkara ini telah lama diadukan oleh penduduk dan dibangkitkan semasa kempen pilihanraya. Sebab itu saya ambil tindakan segera selepas diberi mandat dalam pilihanraya tersebut.

“Manakala pada persidangan DUN beberapa hari yang lalu, saya telah membangkitkan isu Hutan Simpan di Kg.Kibunut dan saya percaya isu ini juga akan ditangani kerajaan negeri dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kaamatan Zon Pertanian (Gabungan 14 JPKK), di Dewan Gawir, Kg.Madsiang, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau akan terus memberi perhatian keperluan-keperluan penduduk kampung dan menyediakan peruntukan seimbang di kedua-dua kawasan yang diwakilinya.

“Sebagai wakil rakyat saya akan bahagikan masa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Adun Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang.

“Itu sebabnya, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kita berjaya menyelesaikan beberapa isu yang dikemukakan penduduk kampung dan memastikan projek-projek pembangunan yang belum dilaksanakan di kawasan Penampang terutamanya penaiktarafan Tamu Pekan Donggongon dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, bagi meneruskan pembangunan dengan lebih berkesan di kawasan Penampang termasuk usaha menjadikan daerah itu sebuah pusat keusahawanan, Pelan Pembangunan Penampang sedang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

“Selama ini ada perancangan dan keperluan di Penampang membangunkan kampung-kampung dan menaiktaraf daerah Penampang sebagai Majlis Perbandaran, sebab itu melalui peruntukan Ahli Parlimen, kita telah membiayai IDS membuat kajian dalam tempoh enam bulan ke kampung-kampung seluruh Penampang untuk menyiapkan pelan pembangunan itu.

“Saya menjangkakan Pelan Pembangunan Penampang ini siap pada Oktober atau November tahun ini. Pelan pembangunan itu akan menjadi dokumen rasmi kerajaan seterusnya menjadi input dalam rancangan pembangunan Malaysia dan rancangan pembangunan Sabah setiap lima tahun,” katanya.

Ewon berharap melalui pendekatan mewujudkan Pelan Pembangunan Penampang yang lebih menyeluruh dapat membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan itu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles