Undang-undang anti-lompat parti kunci utama kukuhkan fabrik demokrasi sistem politik Sabah

KOTA KINABALU: Undang-undang anti-lompat parti merupakan kunci utama untuk mengukuhkan fabrik demokrasi dalam sistem politik negeri ini, memastikan kestabilan dan menjaga kehendak rakyat, kata ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone J. Kurum.

Advertisements

Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat telah menyaksikan trend dan tindakan wakil rakyat bertukar parti politik yang dianggap sebagai tindakan mengabaikan mandat yang diberikan oleh pengundi kepada mereka.

Fenomena malang ini melemahkan intipati demokrasi, menimbulkan keraguan terhadap kepercayaan yang diletakkan oleh rakyat kepada pemimpin mereka yang dipilih, tambahnyai.

“Pada tahun 1988, undang-undang anti-lompat telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri semasa Parti Bersatu Sabah (PBS) berkuasa. Bagaimanapun, ia telah diisytiharkan ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan lantas terbatal dan tidak sah.

“Justeru, pada kali ini PBS sebagai anggota dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah bertekad menyokong pembentangan rang undang-undang yang melibatkan peruntukan anti-lompat parti ini kerana kita tidak boleh mengabaikan akibat daripada lompat parti tersebut. Ia menjejaskan kestabilan kerajaan, menghalang tadbir urus yang berkesan dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi demokrasi kita.

“Adalah menjadi kewajipan kita, sebagai wakil rakyat, untuk mengambil tindakan tegas dan memulihkan integriti sistem politik kita,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang melibatkan peruntukan baharu, Perkara 17A iaitu larangan ADUN bertukar parti (undang-undang anti-lompat parti) yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, kelmarin.

Jonnybone berkata, penggubalan undang-undang anti-lompat parti boleh memupuk kestabilan politik dalam negeri ini.

“Ia akan berfungsi sebagai penghalang, tidak menggalakkan wakil rakyat daripada terlibat dalam pertukaran parti bersifat oportunistik untuk kepentingan peribadi. Ia juga akan memastikan ahli politik kekal komited kepada parti dan prinsip yang mana mereka telah dipilih, seterusnya menghormati kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi kepada mereka.

“Selain itu, undang-undang anti-lompat parti ini juga akan menggalakkan disiplin parti, mengukuhkan perpaduan termasuk perpaduan kalangan parti politik. Ia akan memupuk persekitaran perdebatan yang sihat, pertukaran idea, dan penggubalan dasar berasaskan kepada nilai dan objektif bersama. Jika wujud kesatuan yang baik, perkara ini pastinya diterjemahkan kepada tadbir urus yang berkesan dan sistem politik yang lebih responsif,” katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Jonnybone berkata, undang-undang anti-lompat parti juga menjunjung mandat demokrasi yang telah diamanahkan oleh rakyat.

“Apabila rakyat mengundi, mereka berbuat demikian dengan jangkaan bahawa wakil rakyat mereka akan kekal setia kepada parti dan prinsipnya. Pertukaran parti melemahkan prinsip asas ini dan mencairkan suara pengundi. Dengan meluluskan peruntukan anti-lompat parti ini, kita mengesahkan komitmen untuk menghormati dan memelihara kehendak demokrasi rakyat.

“Tambahan pula, undang-undang anti-lompat parti meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam landskap politik kita. Ia membolehkan rakyat membuat pilihan termaklum (informed choices) semasa pilihan raya, dengan mengetahui bahawa wakil rakyat mereka terikat dengan kod tingkah laku yang menghalang mereka daripada bertukar parti dengan mudah. Ia membawa keyakinan dan kepercayaan yang lebih tinggi, memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem politik kita,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles